Ribuan maut gempa bumi di China

Info Dipetik : Kosmo! 13 Mei 2008

BEIJING – Gempa bumi paling besar pernah melanda China dalam tempoh tiga dekad berlaku semalam dengan menyebabkan sehingga 8,600 orang terbunuh manakala 10,000 lagi cedera di daerah autonomi Beichuan Qiang, wilayah Sichuan, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut agensi tersebut, gempa bumi sekuat 7.8 magnitud itu berlaku pada waktu petang sekali gus mengakibatkan 80 peratus bangunan di daerah Beichuan Qiang musnah.

Penduduk di daerah itu adalah sebanyak 161,000 orang.

Ratusan orang tertimbus di Shifang selepas beberapa buah sekolah, kilang dan asrama musnah.

Angka kematian dijangka meningkat ketika para penduduk kampung membantu menyelamatkan puluhan pelajar yang terperangkap di celah runtuhan.

Gempa bumi itu adalah yang terburuk sejak 1976 di mana gempa bumi di Tangshan, timur laut China menyebabkan 300,000 orang terbunuh.

Pusat gempa bumi terbaru itu terletak di kawasan berdekatan Beichuan iaitu di Wenchuan iaitu satu daerah pergunungan yang mempunyai 100,000 penduduk.

Gegaran turut dirasai di seluruh China, Bangkok, Hanoi di Vietnam, Taipei di Taiwan dan Pakistan.

ORANG ramai bermalam di sebuah
kawasan lapang di Mianyang, wilayah
Sichuan.


Gempa bumi itu berlaku kurang tiga bulan sebelum Sukan Olimpik Beijing berlangsung.

Agensi berita Xinhua menyatakan pemberitanya di Juyuan kira-kira 100 kilometer dari pusat gempa itu mendapati sejumlah pelajar menangis meminta pertolongan dari celah-celah runtuhan sebuah sekolah.

Gambar-gambar yang disiarkan di internet menunjukkan beberapa tangan dan tubuh badan manusia berada di celah-celah runtuhan.

Satu lagi gambar menunjukkan sebuah bangunan enam tingkat ranap sama sekali.

Seorang pelajar dari Israel, Ronen Medzini sempat menghantar khidmat pesanan ringkas kepada The Associated Press dengan menyatakan bekalan elektrik dan air terputus.

“Kesesakan jalan raya, bekalan air, elektrik terputus manakala setiap orang duduk di jalan-jalan raya dan para pesakit dipindahkan ke luar hospital dan mereka duduk dan menunggu (bantuan),” kata Ronen.

Gempa bumi itu juga menyebabkan orang ramai di beberapa bandar utama di China melarikan diri selepas merasai gegaran.

“Kami tidak pernah berasa seperti ini (gegaran) sepanjang kehidupan kami,” kata seorang pekerja hotel di Fuyang, wilayah Anhui.

SEORANG anggota penyelamat cuba menyelamatkan seorang pelajar di Dujiangyan, Sichuan.


Perdana Menteri China, Wen Jiabao menyatakan gempa bumi itu adalah bencana besar dan meminta orang ramai bertenang.

“Perkara paling penting ketika menghadapi bencana adalah bertenang, yakin, berani dan memiliki kepimpinan yang kuat,” katanya kepada stesen televisyen CCTV.

Beliau juga pergi ke Chengdu, Sichuan untuk membantu kerja-kerja menyelamat.

Pentadbiran Perhutanan Negara (SFA) menyatakan lapan jam selepas gempa bumi itu berlaku, semua bentuk komunikasi di daerah Wenchuan terputus.

– Agensi

1 Komen

  1. koko said,

    24 April 2009 pada 4:20 pm

    such a sad story


Tinggalkan komen