Larangan ceramah politik di Perak, KENAPA tidak di negeri-negeri lain ???

MALAYSIAKINI – Polis melarang sebarang ceramah politik di seluruh Perak sehingga situasi panas susulan pergeseran kerajaan BN dengan Pakatan Rakyat sejak minggu lalu mulai reda.

“Kita tidak benarkan sebab situasi tidak berapa elok,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata pembekuan ini telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad dan pegawainya itu akan mengeluarkan arahan rasmi.

“Saya sudah beritahu ketua polis (Perak) dan beliau akan keluar arahan,” kata Musa.

Beliau diminta menjelaskan dakwaan seorang pemimpin PKR bahawa polis membekukan ceramah Pakatan Rakyat di seluruh negara selama dua minggu ekoran kegelisahan politik di negeri tersebut.

Ditanya tempoh pembekuan permit itu akan dikuatkuasa di Perak yang kini sedang menyaksikan perebutan jawatan menteri besar dan kerajaan negeri, Musa tidak dapat menyatakan tarikh pasti.

Mengulas tindakan polis negeri-negeri lain, beliau berkata tiada arahan seumpama itu dan parti-parti politik yang berminat mengadakan ceramah harus melalui prosedur biasa untuk mendapatkan permit.

“Saya tidak dengar (dakwaan itu). Negeri lain, kalau parti nak buat, kena ikut syarat-syarat (mengadakan ceramah) seperti biasa,” kata Musa lagi, ketika diminta mengulas penarikan balik permit ceramah di Pulau Pinang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR mendakwa ceramah anjuran mereka di Bayan Baru pada Ahad lalu dibatalkan permitnya di saat-saat akhir kerana wujud “arahan khas daripada Bukit Aman.”

Badrul Hisham Shaharin mendakwa pihaknya dimaklumkan pembekuan itu selama dua minggu sehingga situasi di Perak “kembali sejuk.”

Ceramah itu yang asalnya dijadual di padang dekat Sungai Nibong Tengah, bagaimanapun diteruskan di sebuah rumah berdekatan  dengan kehadiran 2,000 orang penyokong, katanya.

Selain beliau, exco kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak, Sim Tze Tzin turut berucap.

Sementara itu, ketua Angkatan Muda PKR Bayan Baru, Asrizal Tahir – yang memohon permit berkenaan – berkata permohonan mereka pada mulanya diluluskan oleh polis.

Katanya, seorang pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah menelefon beliau sehari sebelum program memaklumkan pembatalan itu.

Menurutnya, pegawai polis itu memaklumkan kepadanya bahawa semua ceramah “dibekukan dalam masa terdekat”, difahamkan dua minggu kerana “ada sangkut-paut dengan situasi di Perak.”

Beliau juga mendakwa, pegawai itu memberitahu bahawa keputusan itu datangnya daripada ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman dan berkuatkuasa di seluruh negara.

Pergeseran di Perak bermula apabila kerajaan Pakatan tumbang apabila tiga Adunnya keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada BN.

Adun PKR Datuk Nasarudin Halim – yang menyertai parti itu selama 10 hari – kembali semula kepada BN.

Kerajaan baru BN pimpinan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir itu bagaimanapun tidak diiktiraf  menteri besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyebabkan wujudnya dua menteri besar di negeri itu.

1 Komen

  1. ParpuKari said,

    12 Februari 2009 pada 5:54 pm

    Saya sedikit teruja setiap kali menulis mengenai Pakatan Rakyat. Mungkin kerana topiknya amatlah mudah untuk ditulis. Ada saja buah-buah fikiran yang mencurah-curah masuk ke dalam otak.

    Suka saya ingatkan di sini bahawa tajuk artikel saya kali ini amatlah bertepatan dengan isi kandungannya. Jika anda bersetuju dengan tajuk di atas, tidak perlulah anda meneruskan pembacaan anda. Ini kerana mereka yang sudah masak dengan agenda Pakatan Rakyat sudah tidak perlu diberitahu lebih lanjut lagi. Sila berhenti membaca di sini. Terima kasih.

    Jika anda tidak bersetuju pun, tidak mengapa. Tiada apa yang akan saya katakan akan masuk dek akal di kalangan mereka yang tidak sehaluan dengan blog ini. Anda boleh tekan butang ‘backspace’ sekarang. Terima kasih.

    Sebenarnya, artikel kali ini ditulis kepada sesiapa yang telah melihat gelagat para penyokong Pakatan Rakyat pada hari Jumaat lepas.

    Saya terpanggil untuk menganalisa apa yang berlaku selepas hari Jumaat tersebut. Kita tidak akan menyentuh mengenai keputusan Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah.

    Ini kerana, ramai yang tiba-tiba sudah khatam ijazah perundangan akan bertelagah sesama sendiri di sini. Ramai juga yang perasan menjadi tuan-tuan hakim untuk terus menerus menjatuhkan hukuman kepada Sultan Azlan. Walaupun sudah dikatakan bahawa baginda telah bertindak mengikut lunas undang-undang, ada juga yang akan menidakkan bidang kuasa baginda. Mereka akan berkata yang baginda mungkin tersilap kerana baginda hanya seorang manusia, akan tetapi mereka ini terlupa yang mereka juga manusia yang tidak terlepas dari kesilapan. Harap mereka ini dapat menarik dan menghela nafas keinsafan.

    Seperti dikatakan dahulu, kita boleh membawa perkara ini ke mahkamah jika mahu.

    Namun begitu, perkara yang tidak dapat diselesaikan di mahkamah adalah maruah baginda yang sudah tercemar akibat cacian para pemimpin Pakatan Rakyat yang menghasut para penyokong mereka supaya memberontak. Kelakuan ini sudah pun dikategorikan sebagai menderhaka.

    Yang gelihatinya, apabila orang ramai berkata bahawa Pakatan Rakyat sudah menderhaka kepada Sultan, mereka cuba memulang paku buah keras dengan mengatakan Umnolah yang mula mula menderhaka kepada Sultan suatu masa dulu. Sungguh pelik sekali. Apabila dengan terang kita melihat Umno, Barisan Nasional, sebahagian rakyat, segelintir NGO dan para bloggers sedang berhempas pulas mempertahankan institusi diraja, Pakatan Rakyat dengan tidak segan silu menzahirkan perbuatan mereka dengan menyatakan ‘dulu orang lain pernah buat, kami pun hendak buat juga!’

    Beginilah sebenarnya perangai pemimpin Pakatan Rakyat. Tidak mahu bertanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan. Di mana-mana kita baca tidak terdapat satu blog pemimpin Pakatan Rakyat yang meminta maaf di atas keterlanjuran para penyokong mereka minggu lepas. Anwar Ibrahim telah bertungkus lumus menggembleng tenaga buruh (ada juga yang di import dari Indonesia) untuk membuat rusuhan yang secara tidak langsung merupakan kejadian paling biadap yang pernah kita saksikan sepanjang hayat kita.

    Sewaktu Raja-Raja Melayu ingin tunduk kepada pihak British, orang-orang Melayu ketika itu telah berarak beramai ramai ke Station Hotel di Kuala Lumpur untuk memujuk raja-raja mereka agar tidak bersetuju dengan perjanjian Malayan Union. Kesultanan Melayu bernasib baik kerana Datuk Onn Jaafar telah memimpin perjuangan untuk mengembalikan kuasa Raja Raja Melayu dari dirampas oleh pihak British.

    Hari ini kita dapat saksikan betapa gediknya blog-blog Pakatan Rakyat mengungkit cerita-cerita lama untuk mempertahankan kelakuan mereka tempoh hari. Akan tetapi mereka ini sudah berasa lebih tinggi dari raja hingga tidak terfikir oleh mereka untuk meminta maaf kepada Sultan Azlan. Mengapa perlu terkinja-kinja dan bersungguh-sungguh mengalihkan perhatian orang ramai? Mereka tidak sedar bahawa ianya tidak sama sekali memadam penderhakaan mereka. Ianya hanya dapat dimaafkan jika Anwar Ibrahim, Mohd Nizar dan seluruh barisan exco lama Perak memohon ampun di atas kesalahan mereka tempoh hari.

    Oleh kerana Pakatan Rakyat adalah satu pakatan yang tidak bertanggungjawab, mereka akan terkial kial mencari sebarang justifikasi untuk membolehkan mereka menderhaka kepada Sultan. Dan dengan pantas, mereka menjumpainya. Tiada cara lain, kecuali dengan mengungkit sejarah. Mereka berharap sejarah akan berpihak kepada mereka. Sayang sama sekali, sejarah juga tidak akan melepaskan mereka dari kesalahan derhaka.

    ‘Orang lain boleh buat, mengapa kita tidak boleh? Yang penting, Umno juga perlu dilihat sebagai penderhaka.’ Itulah yang mereka lakukan.

    Yang anehnya, dalam masa yang sama, Anwar Ibrahim berkata yang beliau akan cuba mengembalikan kuasa Raja Raja. Bagaimana hendak mengembalikan kuasa raja-raja jika kita berkurang ajar kepada mereka? Saya khuatir Anwar Ibrahim akan sukar membuat ucapan kelak kerana lidahnya makin bercabang.

    Ada yang lebih aneh lagi. Di dalam blog-blog pro Pakatan Rakyat, para penyokong mereka pula ingin melucutkan kuasa raja raja kerana marahkan kepada Sultan Azlan. Pelik bin ajaib! Telatah Anwar Ibrahim dan para pengikutnya ternyata mengaibkan institusi DiRaja.

    Ingat, jika ingin mengungkit cerita lama seperti kes Tan Sri Ghazali Jawi dan insiden Datuk Idris Jusoh dengan pemangku Sultan Terengganu, maka janganlah anggap diri sudah terlalu sempurna dari sebarang kesalahan. Janganlah menganggap diri sudah terlalu gah dan sudah lebih makan garam dan telah banyak membuat jasa.

    Tindakan tidak meminta maaf menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat percaya diri mereka kebal dan boleh melakukan sesuka hati terhadap raja mereka sendiri. Sekurang-kurangnya, Umno pernah berjasa besar kepada Raja Raja Melayu sebelum itu. Apakah jasa Pakatan Rakyat kepada Raja Raja Melayu kini?

    Ada? Tunjuk isyarat lucah ada lah!

    Ingin diingatkan bahawa kes Tan Sri Ghazali Jawi amatlah berlainan sekali dengan peristiwa Anwar Ibrahim dan Mohd Nizar menderhaka kepada Sultan Azlan. Tan Sri Ghazali Jawi berhenti walaupun mempunyai majoriti dari wakil rakyatnya. Tun Hussein Onn bagaimanapun telah menghormati kehendak Sultan Idris dan melucutkan jawatan Menteri Besarnya. Sultan Idris telah berkehendakkan sesuatu di luar batasan sistem perundangan Perak. Jika contoh ini yang diambil oleh Pakatan Rakyat, maka jika Sultan Azlan bernazar tidak mahu Mohd Nizar sebagai Menteri Besar baginda, adakah Anwar Ibrahim akan menghormati Sultan Azlan dan mengarahkan Mohd Nizar supaya bersabar dan menerima sahaja titah Sultan? Tidak sama sekali. Kita telah melihat, mendengar dan membaca mengenai kebiadapan mereka.

    Oleh itu, tidak usahlah hendak mendabik dada berlagak hero. Bertelur sebiji, riuh sekampung. Contoh yang dikemukakan tidak boleh dipakai. Alangkah cocok dan manis jika kita dapat melihat para pemimpin Pakatan Rakyat menelan ego mereka dan meminta ampun kepada baginda Tuanku.

    Adakah pemimpin PAS terlalu maksum untuk meminta ampun bagi pihak penyokong mereka? Anwar Ibrahim tidak mungkin akan meminta maaf kerana kita sudah tahu mengenai personalitinya. Beliau tidak akan sekali-kali merendahkan diri untuk meminta maaf kepada Tuanku Sultan. Beliau terlalu maksum untuk itu semua!

    Atau adakah mungkin para pemimpin di dalam Pakatan Rakyat tidak percaya kepada institusi Raja lagi? Adakah seorang bernama Sultan Azlan tidak berhak mendapat sembah hormat yang sewajarnya? Atau mungkin mereka berfikir bahawa orang bernama Sultan Azlan hanya berhak ditempelak sahaja? Boleh dimaki dan dicerca di dalam blog, di dalam ceramah, di dalam surat-surat khabar Pakatan Rakyat, di mana-mana sahaja. Begitu? Jika lidah sudah bercabang, sifat sifat baik di dalam diri manusia dengan sendirinya akan terhakis.

    Jika Pakatan Rakyat sudah tidak hormat kepada institusi Raja Melayu walaupun hanya baru berkuasa selama 11 bulan, mana mungkin mereka akan melindungi dan menghormati masyarakat madani di masa yang akan datang.

    Inilah musibah yang akan menanti rakyat jika Pakatan Rakyat terus menerus didodoi oleh sokongan mereka yang terlalu taksub kepada sifat sifat orang yang lidah bercabang.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: