Muhyiddin ‘derhaka’ pada Abdullah, bergelut pinta sokongan Najib

HARAKAHDAILY – SUATU ketika dahulu, apabila berlaku pertandingan dalam Umno, bahagian-bahagian yang mengadakan mesyuarat masing-masing akan ternanti-nanti, siapakah yang bakal dicalonkan oleh bahagian-bahagian yang diterajui Presiden dan Timbalan Presiden.

Ketika itu, biasanya, calon-calon yang menerima pencalonan dari bahagian yang diterajui Presiden Umno, akan menang mudah, walaupun ia bukan suatu ‘kepastian’.

Dari cerita sebelum ini, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pernah ‘menang’ kerusi Naib Presiden dalam tahun 2000 kerana Umno Bahagian Kubang Pasu, yang ketika itu diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad mencalonkannya, bersama-sama Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Namun, beberapa tahun kemudiannya, seperti ada satu peraturan pula, bahagian-bahagian yang diterajui Presiden dan Timbalan Presiden ‘tidak dibenarkan’ menamakan calon-calaon bagi jawatan Naib Presiden, jika terdapat ramai calon yang menawarkan diri – kononnya bagi mengelakkan ia dituduh sebagai ‘mempengaruhi’ bahagian-bahagian lain, yang belum membuat pencalonan.

Kini, sebelum bahagian Kepala Batas dan Pekan mengadakan mesyuarat dan menamakan calon-calon-calon pilihan mereka, Umno Bahagian Pagoh yang diterajui calon Timbalan Presiden, Muhyiddin sudah mengadakan persidangannya dan menamakan Najib dan beliau sendiri sebagai Presiden dan timbalan, manakala untuk kerusi Naib Presiden, Pagoh menamakan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Dato’ Seri Mohd Shafie Afdal dan Dato’ Seri Dr. Rais Yatim sebagai Naib-Naib Presidennya.

Tentunya jadi persoalan, mengapa bahagian Pagoh menamakan Hishammuddin, Shafie dan Rais? Apakah memang ini calon Naib Presiden yang dikehendaki Muhyiddin atau, Muhyiddin yang masih mengejar untuk mencukupkan percalonan bagi jawatan Timbalan Presiden, bermain politik dengan ‘pencalonan’ ini?

Dalam tahun 2004, Umno Bahagian Pagoh mencalonkan Muhyiddin sendiri sebagai salah seorang calon Naib Presiden di samping Dato’ Seri Mohd Ali Rustam dan Muhammad walaupun ketika itu, ada usaha untuk meminta bahagian Pagoh mencalonkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang sudah dijangka bakal menang kerusi Naib Presiden.

Namun, Umno Bahagian Pagoh ‘berdegil’ kerana merasakan mencalonkan Mohd Ali yang ketika itu meraih populariti cukup tinggi dari segi pencalonan akan menyebabkan Muhyiddin akan dapat ‘tempias populariti’ Mohd Ali.

Memang betul, selepas pengumuman keputusan pemilihan tahun 2004, Muhyiddin tertinggal sedikit di belakang Mohd Ali dari segi jumlah undi, sekaligus menyebabkan Muhyiddin cukup-cukup kecewa dan mengeluarkan kenyataan, “saya bukan menang sebenarnya tetapi terselamat.”

Kali ini, walaupun ada permintaan supaya Umno Bahagian Pagoh mencalonkan ‘orang-orang yang pernah berbudi’ dengan Muhyiddin, tidak diendahkan sebaliknya mereka memilih untuk mencalonkan nama-nama besar ini, Hishammuddin, Shafie dan Rais yang tidak mustahil akan mengulangi ‘kesilapan’ tahun 2004.

Apa kesilapan pencalonan 2004 yang dibuat oleh Umno Bahagian Pagoh? Kesilapannya ialah mereka menamakan Mohd Ali dan Muhammad sebagai calon Naib Presiden, di samping Muhyiddin yang akhirnya , kedua-dua calon yang dinamakan itu, menjadi penentang kepada Muhyiddin di kerusi Timbalan Presiden.

Dengan tersiarnya artikel ini, orang-orang Umno Pagoh harus berfikir dan nilaikan semula pendirian.

Jangan sombong dan angkuh bila ada orang lain meminta pencalonan, dengan menolak mentah-mentah, kononnya Muhyiddin tidak memerlukan ‘ihsan’ sesiapa – tanpa mahu mengingati semula bagaimana sukarnya mencari pencalonan untuk Muhyiddin bertanding kerusi Naib Presiden Umno tahun 2004.

Hari ini pun, ketika Muhyiddin sudah terbayangkan kerusi Timbalan Perdana Menteri, ramai yang bercakap ‘agak janggal’ Najib mempunyai seorang timbalan yang lebih tua darinya.

Maka, dari senarai potensial yang ada, mereka menamakan Hishammuddin akan menjadi timbalan kepada Najib jika diukur dari segi usia.

Tidak mustahil, selepas ini Muhyiddin akan bertarung pula dengan Hishammuddin, salah seorang calon Naib Presiden yang dicalonkan oleh Umno Bahagian Pagoh, tahun ini.

Sebelum isu pelan peralihan kuasa ini ‘meletup’ hubungan Muhyiddin-Muhammad dianggap rapat.

Malah, apabila Muhammad tewas di dalam usahanya mempertahankan kerusi Naib Presiden tahun 2004, Muhyiddin adalah orang yang paling kecewa.

Malahan, ada cerita menyebut, Muhyiddin tidak dapat menerima kemenangan Mohd Isa Samad dan salah satu sebab, hanya Mohd Isa sahaja penjawat jawatan tertinggi Umno dikenakan tindakan disiplin adalah atas permintaan Muhyiddin.

Namun, dalam politik tidak ada sahabat sejati. Kawan baik Muhyiddin, Muhammad kini menjadi pesaing Muhyiddin. Muhammad sudah meminta bahagian-bahagian memberi pencalonan yang mencukupi kepada calon-calon yang bertanding supaya perwakilan akan dapat membuat pilihan masing-masing.

Dari kenyataan Muhammad itu, membuktikan dua perkara. Pertama, pencalonan bukan bererti kemenangan dan sistem quota sebenarnya menjadi penghalang kepada calon-calon untuk menawarkan diri.

Muhammad dilihat sebagai ‘orang Abdullah’ sejak awal-awal lagi. Muhammad adalah salah seorang yang paling lantang mempertahankan Abdullah, apabila ada pihak-pihak membuat desakan supaya Abdullah diundurkan dari kerusi Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Pendirian Muhammad ini tidak disenangi beberapa pihak termasuk beberapa ketua bahagian di Selangor sendiri.

Apabila Umno Bahagian Shah Alam tidak menamakan Muhammad sebagai Timbalan Presiden, ia sekali lagi membuktikan bahawa Muhammad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, secara diam-diam ditentang.

Muhyiddin sendiri pernah berkata kepada kawan-kawannya, dia tidak begitu popular di Selangor.

Barangkali, Muhyiddin tidak mempunyai kawan-kawan rapat dari kalangan ketua Umno bahagian dari Selangor seperti mana kawan-kawan Muhyiddin dari Johor dan Kedah.

Dalam tahun 2000. Muhyiddin tercari-cari 19 bahagian yang sanggup mencalonkannya untuk melayakkan dia bertanding kerusi Naib Presiden.

Antara bahagian yang mencalonkannya Padang Terap, Padang Serai, Pasir Mas, Telok Kemang dan Pagoh. Tetapi, apakah Muhyiddin masih ingat semua ini dan masih ada hubungan dengan mereka yang berhempas pulas menaikkan namanya suatu ketika dahulu?

Dari segi politik, Muhyiddin kini secara tidak rasmi sudah boleh diramalkan sebagai bakal Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, walaupun ia bukan suatu perjalanan yang mudah. Malah, jika pencalonan Muhammad dan Mohd Ali mencukupi quota untuk bertanding, Muhyiddin tidak mungkin menang mudah.

Perwakilan Umno bukan ‘penterjemah’ undi perwakilan cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian. Mereka mempunyai perkiraan sendiri. Jika tidak, mustahil Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman boleh tewas dalam pemilihan tahun 2000 sedangkan beliau mendapat pencalonan kedua tertinggi di belakang Najib.

Apa faktor lain yang menjadi penentu kepada kemenangan dan kekalahan seseorang calon? Tentulah banyak dan antaranya wang dan kelakuan seseorang calon itu. Perwakilan akan mengamil kira calon-calon yang boleh memberikan mereka habuan selain dari ‘mudah didekati’. Dari segi ini, antara Muhyiddin, Muhammad dan Mohd Ali, Muhyiddin paling terkebelakang.

Cuma satu kelebihan Muhyiddin dalam persaingan kali ini, Najib menyebelahinya. Kedua, Muhyiddin adalah Ahli Dewan Rakyat, manakala Muhammad adalah Ahli Dewan Negara, manakala Mohd Ali pula, Ahli Dewan Undangan Negeri. Kedudukan ini juga akan menjadi salah satu faktor kalah dan menang seseorang calon.

Ketika para penyokong Najib berhempas pulas, cuba menerima kehadiran Muhyiddin dalam kumpulan mereka, para penyokong Abdullah tetap tidak akan dapat menerima Muhyiddin lagi.

Bagi mereka, Muhyiddin ‘penderhaka’ kepada Abdullah yang melantiknya menduduki kerusi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kerusi yang begitu lama dikuasai Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Paling mengejutkan, mengapa Umno Bahagian Pagoh tidak mencalonkan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamid sebagai salah seorang calon Naib Presiden, sebagai balasan penarikan diri Zahid dari penawaran bertanding kerusi Timbalan Presiden?

Adakah Muhyiddin marah kepada Zahid atau Muhyiddin sudah tidak memerlukan sokongan Umno Perak sekarang kerana Muhyiddin cukup selesa dengan undi dari Negeri Sembilan (Rais), Johor (Hishammuddin) dan Sabah (Shafie)?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: