Perlumbaan ‘luar biasa’ rebut jawatan tinggi Umno

MALAYSIAKINI – Pergerakan Pemuda Umno Johor menganggap pemilihan pucuk pimpinan Mac depan sebagai sesuatu yang unik kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah pemilihan parti itu.

“Sukar untuk saya mengulas perkara tersebut tetapi saya berharap ianya membawa kebaikan kepada parti,” kata Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim.

Menurutnya, dalam pemlihan kali ini, begitu ramai pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan utama Umno.

Malah, katanya, yang lebih menarik lagi, ada kalangan pemimpin yang tidak disangka akan bertanding, turut tampil menawarkan diri.

Beliau tidak mahu menyebut nama-nama pemimpin yang dimaksudnya itu kerana tidak mahu menjejaskan peluang mereka nanti.

Bagaimanapun, katanya, beliau percaya mereka pasti tahu peranan masing-masing untuk menjadikan Umno lebih baik.

Manakala timbalan ketua perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Kamaruddin Ambok turut mengulas mengenai minat ramai pemimpin Umno untuk bertanding kali ini.

Mesti ukur kewibawaan

“Dahulu, ketika Datuk Najib Razak mengumumkan bertanding timbalan presiden Umno, tiada seorangpun yang mahu bertanding.

“Tetapi sebaliknya, kali ini mereka berlumba-lumba mahu bertanding,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

“Masa kempen yang panjang juga satu masalah kerana calon akan berkempen habis-habisan untuk mendapatkan sokongan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan kebimbangannya kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku, termasuk perpecahan dalam parti.

Katanya, apa gunanya memegang jawatan tinggi tetapi mereka tidak boleh menyatukan Umno dan orang Melayu.

Beliau berkata, pemimpin yang mahu bertanding sepatutnya mengukur kewibawaan masing-masing sama ada layak atau tidak untuk bertanding.

Sementara itu, timbalan ketua bahagian Umno Kangar, Datuk Hashim Suboh berkata, tindakan Ketua bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed bertanding, menggambarkan Umno kini dalam keadaan kritikal.

Ramai tawar diri

Beliau yang juga ketua penerangan Umno Perlis berkata, penyakit Umno telah mencapai tahap yang cukup kronik.

“Sekarang ada orang yang menganggap mereka tidak perlu lagi mengambil kira dan memberi perhatian terhadap kepimpinan Umno,” katanya.

Menurutnya, ini dapat dilihat apabila orang yang tidak mempunyai jawatan yang sepatutnya dalam parti, turut menawarkan bertanding jawatan utama Umno.

Menjelang mesyuarat bahagian-bahagian Umno yang dijadual bermula esok, semakin ramai pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding.

Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah awal-awal lagi menawarkan ciri untuk bertanding jawatan presiden. Pada 2004,  Ku Li turut menawarkan diri bertanding jawatan tersebut tetapi tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Calon presiden memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan, timbalan presiden (20% atau 38 pencalonan), naib presiden (10% atau 19 pencalonan) dan Majlis Tertinggi (5% atau 10 pencalonan).

Manakala presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula dijangka mengumumkan hari ini sam ada akan mempertahankan jawatan atau tidak.

Jika Abdullah tidak mempertahankan jawatan, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka bertanding jawatan tersebut.

Muhyiddin tanding timbalan?

Ekoran kekosongan untuk jawatan timbalan presiden, naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkemungkinan besar akan bertanding jawatan jawatan timbalan presiden Umno.

Ini berdasarkan laporan bahawa banyak bahagian Umno yang mahu gandingan Najib dan Muhyiddin menggantikan Abdullah ekoran kekalahan teruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Malah, ramai yang berpendapat bahawa Muhyiddin yang banyak berusaha untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa dari Abdullah kepada Najib, yang sebelum ini dijadualkan pada 2010.

Bagaimanapun, Muhyiddin sehingga hari ini belum membuat keputusan sama ada bertanding jawatan timbalan presiden atau kekal mempertahankan jawatan naib presiden Umno.

Mengikut laporan, Muhyiddin dan ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan mengumumkan jawatan yang akan ditandinginya selepas Abdullah membuat keputusan.

Namun, tiga pemimpin Umno lain telah mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden jika berlaku kekosongan dalam pemilihan parti kali ini..

Mereka ialah Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Nur Jazlan.

Jawatan naib presiden

Bagi jawatan naib presiden pula, beberapa pemimpin telah menyatakan kesediaan untuk bertanding dan yang terbaru ialah ketua badan perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sebelum ini, bekas naib presiden, Tan Sri Isa Samad; bekas ketua Pemuda, Tan Sri Rahim Thamby Chik; menteri dalam negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohd Khalid Nordin; menteri luar, Datuk Seri Rais Yatim; ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman; timbalan ketua perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah mengumumkan kesediaan mereka bertanding jawatan naib presiden Umno.

Isa merupakan penyandang jawatan naib presiden sebelum digantung selama sepenggal atau tiga tahun kerana terbabit dengan politik wang dalam pemilihan 2004. Dua lagi naib presiden ialah Mohd Ali dan Muhyiddin.

Manakala antara pemimpin terawal yang menawarkan diri untuk bertanding ahli majlis tertinggi (MT) Umno ialah bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Yang lain termasuklah ketua Umno bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar, ketua Umno bahagian Hulu Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang, ketua Umno bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin dan timbalan menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom.

Jawatan ketua Pemuda pula menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan naib ketua sekarang Khairy Jamaluddin; exco Datuk Mukhriz Tun Mahathir; bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan timbalan ketua perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Tan Sri Rafidah Aziz dijangka tidak dicabar untuk jawatan ketua Wanita setelah beliau mengumumkan akan menyerahkan jawatan tersebut kepada timbalan ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun tahun depan.

Bagi jawatan ketua Puteri empat pemimpin – naib ketua, Rosnah Abdul Rashid Shirlin; ketua Puteri Wilayah Persekutuan, Datin Ismalina Ismail; ketua Puteri Pahang  Datuk Shahaniza Shamsuddin dan setiausaha pergerakan itu, Bibi Sharliza Mohd Khalid telah menawarkan diri bertanding jawatan itu.

1 Komen

  1. 8 Oktober 2008 pada 4:12 pm

    It’s never easy now for me to resign
    Without finishing big plans in my design
    Haven’t you all seen my early warning sign
    What you actually get is what I personally assign

    (C) Samuel Goh Kim Eng – 081008
    http://MotivationInMotion.blogspot.com
    Wed. 8th Oct. 2008.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: