Berakhirnya sebuah teka teki…

AGENDA DAILY – Menjelang pengumuman penting Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi esok nampaknya teka teki bagaikan sudah berakhir.

Semua indikasi sejak mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada pagi 26 September memutuskan hendak menangguh pemilihan parti ke bulan Mac tahun depan jelas menunjukkan Perdana Menteri tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO.

Cuma apa yang semua orang nantikan sekarang ialah kenyataan rasmi Abdullah yang dijangka akan dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan para pemimpin parti komponen Barisan Nasional jam 3.30 petang esok.

Ia dikatakan platform yang paling sesuai bagi Perdana Menteri melabuhkan tirai itu.

Walaupun kedengaran desas desus mengenai gerak politik belakang tabir untuk meminta Abdullah tetap mempertahankan jawatannya namun Agendadaily difahamkan beliau sudah set dengan keputusannya.

Hakikat disebalik ini hampir semua para pemerhati politik sekata bahawa UMNO tidak mungkin dapat bertahan jika kekuatan yang masih ada dikoyak rabak menerusi satu pertandingan jawatan yang sengit apalagi diperingkat Presiden UNMO.

Perdana Menteri sendiri dikatakan tahu realiti ground report yang mahukan satu peralihan kuasa segera untuk memberi masa secukupnya kepada penganti beliau,Datuk Seri Najib Tun Razak memacu UMNO khususnya BN keluar dari debu debu tsunami politik pilihanraya 8 Mac.

Fokus selepas ini tentulah pada pencalonan-pencalonan 191 UMNO Bahagian di seluruh negara yang akan mula bermesyuarat selama sebulan hujung minggu ini.

Malah Timbalan Perdana Menteri sendiri akan berdepan dengan ujian diperingkat pencalonan kerana adanya Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menawarkan diri untuk jawatan Presiden UMNO.

Sebanyak 58 pencalonan diperlukan untuk melayakan diri bertanding jawatan nombor satu itu.

Apapun buat masa ini tumpuan lebih kepada pemilihan jawatan Timbalan Presiden dimana Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berdepan dengan bebebera calon yang sudah mengumumkan hasrat nak tawar diri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan kemungkinan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Saingan untuk jawatan Naib Presiden masih tidak kurang hebatnya yang jika tiada perubahan dijangka melibatkan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein,Datuk Seri Shahidan Kassim,Tan Sri Isa Samad,Datuk Shafie Afdal,Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,Tan Sri Rahim Thamby Chik,Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Juga antara tandatanya paling menarik ialah siapa kelak yang menjadi pilihan Pemuda UMNO dalam senario peralihan kuasa ini.Samada Khairy Jamaluddin,Datuk Mukhriz Mahathir,Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo atau Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Begitu juga barisan kepimpinan Puteri UMNO yang menyaksikan empat calon menawarkan diri iaitu Bibi Sharliza Mohd Khalid, Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Shaniza Samsudin dan Datin Ismalina Ismail.

Barisan Majlis Tertinggi UMNO pula dijangka melihat kemunculan ramai ‘ calon swasta’ yakni yang tidak berjawatan dalam kerajaan seperti Datuk Syed Ali Albahshee,Ketua UMNO Bahagian Cheras.

Kebelakangan ini pertandingan jawatan Majlis Tertinggi terus dimonopoli oleh mereka yang berjawatan baik Menteri,Timbalan Menteri dan Menteri Besar.

Ada pandangan yang merasakan tempat harus diberikan kepada ‘ calon swasta’ untuk mewujudkan perseimbangan dalam badan pengubal dasar parti itu agar suara orang bawah dapat disalurkan menerusi mereka.

Walaupun kebiasaannya jumlah pencalonan dikira belum kata putus perwakilan yang akan mengundi di Perhimpunan Agung UMNO Mac depan namun kali ini ia dikatakan agak lain.

Kini ia dikaitkan dengan peralihan kuasa dimana setiap pencalonan itu dikatakan sangat besar ertinya bagi setiap calon yang menawar diri.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: