Saingan Timbalan: Perkukuh atau risiko jejaskan usaha pulih Umno?

mSTAR – PETALING JAYA: Mengambil kira senario semasa kemungkinan ramai pemimpin Umno akan menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden, penganalisis melihat usaha tersebut jika ‘tidak terkawal’ boleh menjejaskan usaha pemulihan parti kelak.

Penganalsis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, senario merebut jawatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Umno kini berada dalam keadaan lemah.

Pensyarah Pembangunan Sosial itu berkata, selepas usaha yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempercepatkan peralihan kuasa, konflik dalam Umno dilihat menjadi sedikit reda.

Justeru, kata beliau, peluang itu sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh semua ahli untuk memulihkan Umno dan mengelakkan akibat langkah-langkah tersebut.

“Semua ahli patut memberi fokus kepada pemulihan parti dan bukan pemilihan. “Senario seperti ini merupakan persaingan yang sihat jika parti berada dalam keadaan kukuh tapi kini, parti pun ‘tidak sihat’, bagaimana ia boleh dilihat sebagai persaingan sihat,” katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Atory berkata, mereka yang menawarkan diri untuk merebut jawatan timbalan presiden itu dilihat seperti mengambil kesempatan untuk mencari pengaruh masing-masing sedangkan mereka sepatutnya perlu memberi sokongan yang penuh kepada peralihan kuasa itu.

“Tindakan mereka merebut jawatan dalam kemelut yang sedang dihadapi Umno ini boleh merosakkan peralihan kuasa,” katanya yang menyokong supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Mengambil kira perkembangan semasa kemungkinan ramai akan bertanding merebut jawatan itu jika mendapat pencalonan mencukupi. Bahagian bersidang mulai Khamis ini.

Sehingga kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Alu Rustam sudah mengesahkan harsat beliau untuk bertanding.

Turut sudah pasti akan bertanding ialah Muhyiddin, yang hanya akan menyatakan pendiriannya minggu depan selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan keputusan beliau.

Bekas Naib Presiden Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad juga disebut-sebut bakal bertanding. Kedua-dua bekas Menteri Besar itu juga akan mengumumkan pendirian mereka sebelum 9 Oktober ini.

Berbeza dengan pensyarah sains politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman yang melihat kesediaan ramai pemimpin untuk bertanding jawatan itu sebagai sesuatu yang baik dalam keadaan Umno yang sememangnya memerlukan kepimpinan baru.

“Ini akan memberi peluang kepada muka-muka baru untuk menunjukkan kepimpinan mereka.

“Jika ada pihak yang merasakan ini akan mendatangkan pergolakan dalam parti, saya rasa itu lumrah biasa dalam politik kerana sesudah pemilihan nanti, saya percaya parti akan kembali bersatu,” katanya.

Nizammuddin turut tidak menolak kemungkinan akan lebih ramai lagi calon yang akan menawarkan diri untuk jawatan tersebut selepas ini.

Sementara itu, pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Faruk berkata, pertandingan merebut jawatan timbalan presiden itu selari dengan perlembagaan parti yang membenarkan jawatan itu dipertandingkan.

“Bagi parti yang mengamalkan demokrasi, ini adalah amalan sihat kerana ia akan memberi peluang kepada akar umbi untuk menentukan pemimpin yang diinginkan mereka,” katanya.

Azeem berkata, pertandingan seperti ini adalah lebih sihat daripada menang tanpa bertanding kerana ia akan menentukan kekuatan seseorang pemimpin itu.

“Kalau seseorang pemimpin itu menang, beliau tahu di mana kekuatannya dan parti akan menjadi lebih kukuh kerana yang menang itu adalah yang mendapat sokongan kuat.

“Jika beliau menang tanpa bertanding, itu yang tidak sihat kerana tentunya tidak tahu di mana kekuatan dan kelemahannya,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: