Permata RM1 juta ghaib

HARIAN METRO – PETALING JAYA: Ala filem rompakan profesional, sekumpulan perompak yang mengambil peluang cuti umum Rabu lalu melesapkan pelbagai batu permata bernilai hampir RM1 juta dari sebuah syarikat di Kota Damansara di sini, tanpa meninggalkan sebarang kesan cap jari.

Sumber polis berkata, ketiadaan kesan cap jari menyukarkan siasatan untuk mencari bahan bukti seperti bilangan perompak terbabit dan identiti mereka.

Katanya, kumpulan perompak berkenaan yang dikatakan mempunyai kepakaran membuka peti besi menceroboh bangunan tiga tingkat pejabat syarikat terbabit pada awal pagi Rabu melalui pintu belakang.

“Perompak dipercayai menggunakan pemotong besi bagi memotong jeriji untuk masuk ke dalam pejabat syarikat terbabit yang turut menjalankan perniagaan secara Internet.

“Mereka kemudian terus menuju ke tingkat satu sebelum menggeledah dan mencari barang berharga,” katanya.

Sebuah peti besi yang berisi pelbagai batu permata dianggar bernilai hampir RM1 juta kemudian ditemui dalam sebuah bilik di situ.

Sebelum melarikan diri dengan barangan berharga itu, mereka merampas pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di pejabat syarikat terbabit.

Menurut sumber itu, kejadian rompakan itu hanya disedari pengurus syarikat berkenaan yang dimaklumkan orang awam berhubung bunyi alat penggera yang dipasang di pintu bilik pejabatnya.

Pengurus berkenaan yang datang sekitar jam 9 pagi untuk meninjau keadaan terkejut apabila mendapati peti besi terbabit sudah terkopak.

“Dia segera membuat laporan polis sebelum siasatan dilakukan bagi mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab.

“Polis mengesyaki rompakan terbabit dilakukan oleh orang dalam berikutan perompak mengetahui lokasi barang kemas disimpan serta kedudukan CCTV,” katanya.

Peliknya, perompak langsung tidak menyentuh barangan pejabat di tingkat bawah dan tingkat tiga.

Kata sumber itu, pihak polis percaya rompakan itu dilakukan lebih daripada seorang suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Muhamad yang dihubungi wartawan Harian Metro mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya melakukan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk pembabitan orang dalam.

Menurutnya, polis akan mengambil keterangan daripada kakitangan syarikat terbabit bagi membantu siasatan kes rompakan berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, masih belum ada tangkapan dilakukan. Jumlah sebenar kerugian belum dikenal pasti,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: