Zahid, pemimpin pertama tawar diri tanding Timbalan Presiden

mSTAR – PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan yang beliau bersedia untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan.

Ketika dihubungi mStar Online semalam, anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata: “Ya, ya, saya akan bertanding (jawatan Timbalan Presiden).”

Kata Zahid, beliau akan memenuhi kehendak ahli jika dicalonkan untuk jawatan tersebut dan akan membuat pendirian rasmi apabila memperoleh pencalonan kelak.

Zahid menjelaskan, beliau memutuskan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden susulan perubahan senario politik dalam Umno sekarang dan atas permintaan ahli-ahli akar umbi parti yang mahu beliau ‘berganding’ dengan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak memimpin Umno.

“Ekoran mesyuarat Majlis Tertinggi baru-baru ini (26 September lalu) di mana (Presiden Umno), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan akan dipercepatkan, senario dalam Umno sudah mula berubah.

“Oleh itu, rakan-rakan (saya) merasakan bahawa saya perlu mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden… justeru, saya perlu memenuhi kehendaki akar umbi agar bertanding jawatan nombor dua,” kata beliau.

Desas-desus kedengaran sejak Khamis lalu, yang Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datoh sejak 1995, bakal menjadi gandingan Najib apabila beliau mengambil alih jawatan Presiden Umno yang kemungkinan dikosongkan Abdullah dalam waktu terdekat.

Abdullah akan mengumumkan sebelum 9 Oktober ini sama ada bertanding jawatan Presiden ataupun sebaliknya.

Persidangan perwakilan bahagian bermula 9 Oktober ini.

Zahid, 55, merupakan bekas Ketua Pemuda Umno sebelum beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 1998.

Ekoran pilihan raya umum 2004, Abdullah melantik Zahid sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan dua tahun kemudian sebagai Timbalan Menteri Penerangan.

Dalam Kabinet Mac 2008 beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada pemilihan Umno pusat 2004, Zahid berjaya mempertahankan kerusi MT dengan memperoleh undi kedua terbanyak.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan gandingan Najib pada pemilihan Mac depan, Zahid berkata, perkara tersebut belum diputuskan.

Bagaimanapun jelas Zahid, beliau akan berbincang dengan Najid dalam waktu terdekat.

“Saya akan mendapatkan tarikh temu janji untuk menemui Najib dalam waktu terdekat,” katanya.

Awal minggu ini, Umno Bahagian Cheras dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan mengumumkan akan mencalonkan Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, salah seorang Naib Presiden semasa, masing-masing untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Zahid memberitahu, berdasarkan pengalaman dalam Umno selama ini beliau mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut jika diberikan peluang.

“Ketua Pemuda Umno (yang disandang dari 1996 hingga 1998) juga setaraf dengan Naib Presiden, dan kini saya merupakan anggota Majlis Tertinggi,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: