Kalau Abdullah mereka buang, kenapa tidak Najib?

HARAKAHDAILY – KUALA LUMPUR – Malaysia akan dipimpin oleh seorang lagi pemimpin yang lemah, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar manakala Pengarah Strategik PKR, Saifuddin Nasution pula menjangka Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan dibuang seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mereka berkata demikian ketika mengulas proses peralihan kuasa yang diputuskan supaya dipercepatkan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Timbalan Perdana Menteri bersama-sama mesyuarat tergempar MT pagi tadi dilaporkan mencincang pelan peralihan kuasa pada 2010 yang dirayu Abdullah dan memutuskan supaya Presiden Umno itu berundur segera.

Perhimpunan Agung Umno yang akan menyaksikan proses pemilihan kepimpinan ditangguhkan dari Disember ini kepada Mac akan datang dan Abdullah pula dipaksa berundur dalam tempoh beberapa minggu sahaja lagi, kalaupun tidak beberapa hari.

Najib, atas sifatnya sebagai Timbalan Presiden Umno, dijangka akan menggantikannya.

“Siapa pun pemimpin, ia tetap Umno yang sama,” Kamarudin memberitahu Malaysian Insider (MI). “Najib akan dipengaruhi oleh Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan kita akan melalui satu lagi tempoh kepimpinan dan polisi yang lemah”.

“Inilah proses peralihan kuasa yang paling kacau bilau. Adalah ironi mengapa mereka menuduh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) yang bertanggungjawab ke atas ketidakpastian dan kemelut ekonomi, sedangkan adalah jelas Umno tidak boleh menentukan arah haluan parti mereka, apa lagi negara,” kata Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Mengenai percubaan berterusan Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan Barisan Nasional, beliau berkata “usaha untuk perubahan tetap diteruskan tidak kira siapa pun yang memimpin Umno”.

Saifuddin pula mengalu-alukan pengunduran Perdana Menteri yang sememangnya dijangkakan itu.

“Ia sangat baik untuk kami,” katanya kepada MI.

“Najib mungkin diberi peluang oleh rakyat sebagai harapan baru. Tetapi beliau mempunyai terlalu banyak pekung di dada dan hanya menunggu masa sahaja – jika Umno boleh melakukannya kepada Abdullah, kenapa tidak Najib?”

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menyifatkan apa yang berlaku dalam mesyuarat tergempar MT pagi tadi itu sebagai rampasan kuasa.

Beliau menyifatkan kata-kata Abdullah yang mendakwa keputusan untuk berundur terletak di tangannya sebagai kata-kata kosong kerana keputusan telah dibuat supaya Presiden Umno itu berundur segera.

Lim juga menyifatkan mesyuarat tersebut memuktamadkan hakikat bahawa Umno tidak lagi relevan, di mana kepentingan para pemimpin Umno diutamakan melebihi cabaran yang dihadapi negara terutama dari segi ekonomi dan pentadbiran.

1 Komen

  1. Hanief said,

    27 September 2008 pada 12:35 pm

    Tunggu Mac 2009 nanti.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: