‘Coklat stim’ Badang tua

HARIAN METRO – KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu menjadi juara di ranjang, ramai lelaki warga emas kini memburu sejenis gula-gula perangsang seks haram terbaru di pasaran yang terkenal dengan jolokan ‘coklat stim’ atau ‘gula-gula Badang’.

Ternyata gula-gula istimewa terbabit bukan gula-gula sebarangan kerana harganya mampu mencecah RM10 sebiji sekali gus menjadikannya gula-gula termahal dan tidak mampu dibeli sebarangan pengguna.

Sumber Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kewujudan ubat perangsang seks menyamai gula-gula itu dikesan selepas pihaknya mendapat maklumat berhubung kehadirannya yang dijual berleluasa di pasaran.

Menurutnya, gula-gula berwarna gelap sebesar guli itu dikesan masih diedarkan secara sulit oleh sindiket tertentu walaupun gula-gula perangsang seks asal dengan jenama ‘mentalk’ sudah diharamkan penjualannya sejak Jun lalu oleh KKM.

“Siasatan mendapati pihak sindiket sebelum ini menggunakan taktik berdasarkan kaedah jualan langsung untuk menjual gula-gula perangsang seks berkenaan kepada orang ramai dengan harga sekitar RM5 sebiji.

“Bagaimanapun selepas taktik itu dibongkar, pihak sindiket cuba menukar taktik dengan hanya menjual gula-gula perangsang seks haram berkenaan di premis kedai ubat, kedai runcit dan kedai ubat tradisional Cina,” katanya.

Menurutnya, ahli sindiket berkenaan akan menghantar terlebih dulu sekotak gula-gula perangsang seks terbabit ke kedai ubat sebelum diminta mempamer dan menjualnya di kaunter.

“Biasanya pemilik kedai tidak perlu melakukan promosi kerana gula-gula jenama mentalk yang diubah kepada bungkusan baru itu sememangnya dicari-cari pengguna yang mengetahui ‘khasiatnya’.

“Berdasarkan siasatan, gula-gula perangsang seks haram itu yang berisi 30 biji dalam setiap kotak akan habis dalam tempoh singkat walaupun ia dijual agak mahal,” katanya.

Sumber itu berkata, sebaik gula-gula berkenaan habis dijual, ahli sindiket akan datang ke premis terbabit dan menggantikannya dengan kotak gula-gula yang baru selain mengutip wang hasil jualan stok terdahulu.

“Setakat ini dua serbuan dilakukan di beberapa premis menjual ubatan tradisional di Petaling Jaya dan sekitar Jalan Raja Bot di sini, minggu lalu dan pegawai farmasi KKM merampas sejumlah gula-gula berkenaan.

“Kebanyakan peniaga yang disoal siasat mengaku mampu memperoleh keuntungan RM1 bagi setiap biji gula-gula yang mampu dijual semuanya dalam masa kurang tiga hari,” katanya.

Menurutnya, gula-gula perangsang seks berkenaan diharamkan penjualannya berikutan ujian makmal mengesahkan ia mengandungi analog tadalafil iaitu aminotadalafil yang sangat berbahaya kerana ia adalah kimia yang tidak diiktiraf keselamatannya oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

“Hasil penahanan beberapa peniaga itu, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta racun 1952 dan jika sabit kesalahan tuan punya premis boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Ogos lalu, Bahagian Penguat Kuasa Farmasi turut mengharamkan sejenis gula-gula perangsang seks yang mempunyai empat perisa iaitu kopi, halia, kayu manis dan pudina.

Hasil serbuan dilakukan, pihak farmasi merampas ratusan ribu gula-gula itu yang dianggarkan bernilai RM1.18 juta.

Menurutnya, operasi khas di seluruh negara itu dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan Taladafil boleh menyebabkan pelbagai tindak balas pada tubuh seperti mati mengejut, sakit kepala, gangguan perut, penglihatan, kesan sampingan seperti sakit kepala, otot selain boleh membawa kepada penyakit hati dan buta.

Bahan kimia itu amat berbahaya kepada individu yang menghidap darah tinggi, sakit jantung dan kandungan kolestrol tinggi. Ia boleh menyebabkan tekanan darah dalam tubuh menjadi terlalu rendah. Akibatnya mangsa boleh pengsan mendadak atau pitam.

Tinggalkan komen