AGM Umno ditangguh Mac 2009, Pak Lah nafi bercuti

mSTAR – KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan beliau akan bercuti ekoran keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini yang menangguhkan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) dan menerima keputusan beliau mengawalkan peralihan kuasa.

“Saya akan bercutikah? Macam mana anda tahu?

“Tidak. Saya tidak akan bercuti. Saya ada banyak kerja untuk dibuat,” kata Presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat khas MT pagi ini.

MT memutuskan untuk menangguhkan AGM yang sepatutnya diadakan Disember ini sehingga Mac depan bagi membolehkan peralihan pucuk kepimpinan parti dan kerajaan diawalkan.

Bagaimanapun persidangan perwakilan bahagian akan berlangsung sebagaimana telah dijadualkan – mulai 9 Oktober ini.

Abdullah, yang juga Perdana Menteri akan mengumumkan sama ada mempertahankan jawatannya ataupun tidak sebelum 9 Oktober ini.

Ia merupakan tiga perkara utama diputuskan oleh MT Umno pada mesyuarat khas yang selesai tengah hari tadi. Mesyuarat kira-kira 90 minit itu bermula pukul 10.30 pagi tadi.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat MT, Abdullah telah mengadakan pertemuan ringkas dengan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bagi membincangkan supaya persidangan perwakilan diteruskan bagi mengelakkan masalah.

AGM kali ini menyaksikan pemilihan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti – Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden serta kerusi MT.

Keputusan mesyuarat diumumkan oleh Abdullah pada sidang media kira-kira 10 minit.

Ketika mengulas lanjut pendiriannya yang akan mengumumkan sama ada mempertahankan jawatannya ataupun tidak sebelum 9 Oktober ini, Abdullah memberitahu:

“Saya belum membuat sebarang pengumuman mengenai perkara ini. Saya berhasrat untuk mengumumkannya sebelum mesyuarat bahagian.”

“Bertanding atau tidak, keputusan di tangan saya,” katanya lagi.

Kata beliau, keputusan itu dicapai ekoran langkah mempercepatkan pelan peralihan kuasa 2010, yang diputuskan Julai lalu.

Pelan peralihan kuasa sepatutnya berkuat kuasa Jun 2010.

Ditanya lanjut mengenai pelan peralihan kuasa 2010, Abdullah berkata: “Kalau sudah diawalkan tidak timbullah (pelan) 2010 itu.”

Ditanya sama ada pelan asal peralihan kuasa pada Jun 2010 akan dikekalkan, beliau berkata: “kalau diawalkan, tidak adalah original punya 2010 itu. Tak timbullah.”

Ketika diminta penjelasan mengenai maksud bagi melicinkan proses peralihan kuasa awal, Abdullah berkata, “ia adalah bagi membuat penyerahan apa juga yang diperlukan… peraturan-peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti, apa juga.”

“Ini akan diputuskan antara saya dan Najib,” katanya.

Abdullah yang mengambil alih kepimpinan Umno pada Oktober 2003 daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, peralihan kuasa yang diawalkan ini berhubung kait dengan tugas beliau selama ini.

“Semua ada hubung kait dengan kerja saya. Bila habis kerja saya habislah,” katanya.

Jelas beliau, keputusan bagi mengawalkan peralihan kuasa bukan disebabkan tekanan sebilangan anggota MT.

“Tida ada apa-apa pada hari ini (desakan)… mungkin ada dua atau tiga orang yang rasa begitu.

“Tapi kebanyakan tidak menunjukkan apa-apa sebab untuk memberi tekanan.

“Mereka juga tahu hubungan saya dengan Najib adalah satu hubungan yang baik dan apa-apa perkara pun, kedua-dua kami mempunyai persefahaman yang baik.

“Jadi tidak ada masalah yang patut timbul mengenai perkara ini,” kata Abdullah, yang juga Menteri Pertahanan.

Ditanya sama ada tindakan untuk berundur lebih awal adalah yang sesuatu yang terbaik kepada parti, Abdullah menjelaskan:

“Apa yang saya tahu saya sayangkan parti saya, walaupun menghadapi masalah yang teruk, saya tidak pernah tinggalkan parti.

“Saya tidak sertai mana-mana parti lain. Saya tidak pernah berada di platform pembangkang bagi bercakap sesuatu yang bertentangan dengan Umno dan tidak ada rekod saya yang menentang Umno pada bila-bila masa pun.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: