Pakatan dakwa Umno semarak politik perkauman

MALAYSIAKINI – Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang hari ini menolak usaha-usaha menyemarakkan politik perkauman yang didakwanya sedang dilakukan oleh Umno akhir-akhir ini.

“Kami amat bimbang isu ini sekarang digunakan untuk mengelabui pandangan rakyat yang sebenarnya merupakan usaha terdesak untuk menyelamatkan kepentingan segelintir golongan elit politik dan kroni mereka,” kata Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan sekali lagi mengulangi pendiriannya menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan,” kata Anwar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar berkata, berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan ini,  Pakatan menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menurutnya menjadi dasar Umno-BN.

“Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan membantah ucapan yang dibuat oleh ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang disokong oleh semua pemimpin Umno Pulau Pinang.

“Isi ucapan itu mencerminkan dasar perkauman Umno yang sebenarnya bertujuan hanya untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan orang kaya Melayu serta suku sakat mereka yang menggunakan kuasa politik untuk mengambil kesempatan mengaut kekayaan negara dengan berselindung di sebalik membela kepentingan Bumiputera dan orang Melayu,” tegas Anwar.

Ahmad didakwa berkata orang Cina adalah pendatang dan tidak layak mendapat hak sama seperti Melayu.

Sehubungan itu, Gerakan, MCA dan DAP telah mendesak Ahmad supaya menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.  Pemuda DAP (Dapsy) juga membuat laporan polis terhadap Ahmad.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, dan oleh itu, tiada sebab baginya untuk memohon maaf.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: