Nafsu orang tua

HARIAN METRO – KUALA LUMPUR: Ramai cenderung menganggap mereka miang, buang tabiat dan tak sedar diri apabila lelaki warga emas yang kematian isteri ingin kembali bercinta atau menyuarakan hasrat untuk berkahwin.

Hakikatnya, tanggapan negatif itu menimbulkan tekanan kepada golongan terbabit sehingga ada yang gagal mengawal nafsu lalu terjebak dalam jenayah seksual, termasuk sumbang mahram.

Pakar Perubatan Sakit Tuan, Dr Mohd Ismail Tambi, berkata masyarakat perlu segera mengubah persepsi itu bagi mewujudkan persekitaran hidup lebih selesa kepada golongan warga emas, sekali gus mengurangkan kes jenayah seksual membabitkan mereka.

Menurutnya, persepsi masyarakat hari ini bahawa golongan tua yang hidup bersendirian hanya sesuai duduk di masjid melakukan amal ibadat untuk menunggu mati patut diubah kerana hakikatnya nafsu mereka juga perlu dipenuhi.

“Apabila orang muda berkahwin, kita tidak kata apa-apa, tetapi bila ada lelaki berusia 60 tahun kahwin, kita nampak perkara ini janggal dan pandang serong. Ini persepsi salah. Hakikatnya usia saja berubah tetapi keinginan dan nafsu seseorang tetap ada, sama seperti usia mudanya.

“Malah, jika seseorang lelaki itu pada zaman mudanya kuat seks, bila dah berusia dia juga begitu. Jadi, mengapa kita hendak larang mereka. Selagi seseorang itu ada kemampuan, dia boleh lakukan, tetapi sesetengah orang mungkin tidak suka,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau, perkahwinan pada usia emas membuktikan betapa hebatnya anugerah kurniaan Tuhan yang dapat dikekalkan, sama ada kekuatan dan kesihatan fizikal serta usia.

Menurutnya, fenomena ini juga berkait rapat dengan sikap anak yang tidak mahu atau melarang bapa berkahwin lain, kononnya itu tidak perlu lagi kerana sudah tua.

“Apabila ini berlaku, bapa jadi buntu. Jika wanita kematian suami, mereka boleh bermain dengan anak atau cucu, tapi bagi lelaki, mereka tiada ruang. Ini menyebabkan mereka sengsara kerana nafsu bergelora tetapi tiada tempat melepaskannya,” katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, nafsu adalah satu keperluan, sama ada pada mereka yang dikategorikan warga emas atau golongan muda. Selagi ada kemampuan, lelaki atau wanita berusia masih boleh melakukan hubungan kelamin, malah mampu mencapai ereksi dan klimaks.

“Bahaya jika nafsu dipendam kerana ia boleh menyebabkan berlaku kejadian di luar jangkaan, termasuk sumbang mahram. Apabila isteri sudah tiada atau tidak boleh bersama, lelaki warga emas mungkin mencari cara lain untuk melepaskan nafsu dan ini boleh menyebabkan berlakunya jenayah seksual,” katanya.

Menurutnya, ada kajian menunjukkan jika suami isteri kurang ‘bersama’, jangka hayatnya menjadi singkat, sebaliknya apabila kerap bersama, kesihatan mereka menjadi lebih baik kerana secara tidak langsung merapatkan hubungan, mewujudkan keceriaan dan keseronokan.

Selain itu, katanya, kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2003 ke atas 400 responden berusia 50 tahun dan ke atas menunjukkan, 80 peratus atau 320 orang daripada jumlah itu bersetuju seks selepas usia 50 tahun sangat penting.

“Tiada batasan antara lelaki muda dan berusia mengenai nafsu, dan cara melegakan yang paling baik adalah berkahwin. Ada kes yang saya kendalikan, isteri tidak mampu melakukan hubungan kelamin tetapi melarang suami berkahwin.

“Ini menyebabkan si suami sengsara, malah mendorongnya mencari ‘makan luar’ atau membuka ‘cawangan’ lain,” katanya.

Beliau juga pernah dikunjungi pasangan suami isteri berusia 78 dan 68 tahun yang ingin mendapatkan nasihat bagi memantapkan hubungan kelamin mereka.

“Meskipun berusia, pasangan ini masih mampu melakukan hubungan intim dan ini membuktikan hubungan kelamin satu keperluan tidak kira usia, muda atau berusia,” katanya.

Dr Mohd Ismail turut menolak tanggapan perkahwinan pada usia emas bukan bertujuan melakukan hubungan kelamin, sebaliknya pendekatan belaian, urutan, pelukan dan kucupan sudah memadai.

Begitupun, katanya, kekuatan melakukan hubungan kelamin pada usia emas bergantung kepada kemampuan seseorang dan ada juga menggunakan ubat-ubatan untuk menambah tenaga jika beristeri muda.

“Hari ini ada lelaki berusia kahwin dengan wanita muda. Ini perkara biasa, selagi ada kemampuan, ia boleh diteruskan, namun daripada segi hubungan kelamin, mereka pasti mahu bertenaga dan antara caranya ialah mengambil ubat-ubatan.

“Biasanya lelaki seperti ini ada wang kerana mereka tahu pasangan juga mahu suami sama seperti orang muda,” katanya.

Beliau turut menasihatkan golongan sedemikian berjumpa doktor pakar dan jangan sesekali menemui mereka yang tidak bertauliah kerana ia berbahaya dan merugikan.

“Ada kes lelaki lemah tenaga tetapi masih berghairah dan dia ambil jalan mudah, jumpa ‘pakar’ di jalanan. Selepas itu alat sulitnya membengkak, mengeras dan lebih membimbangkannya, ia tidak turun-turun,” katanya.

Advertisements

1 Komen

  1. Shah said,

    1 Mac 2010 pada 8:12 am

    salam~
    kalau atuk saya ni still muda and ada bini…
    tapi tetap menggatal tanpa pengetahuan isterinya…
    so how? please…


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: