Proses pengundian berjalan lancar, polis kawal ketat

HARAKAHDAILY – TERKINI! PERMATANG PAUH, 26 Ogos (Hrkh) – Calon Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengundi jam 9 pagi ini di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Kubang Semang dekat sini selepas hampir 10 tahun terhalang akibat kezaliman Barisan Nasional (BN).

Manakala calon BN, Dato’ Arif Shah Omar Shah dijangka akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya 2.

Wartawan Mohd Sabri Said dan jurugambar Mohd Nasir Sudin yang tiba kira-kira jam 7.30 pagi tadi melaporkan pihak polis membuat kawalan ketat, khususnya di tempat Anwar dijadualkan mengundi.

Katanya, pihak polis juga membuat kawalan ketat sejak semalam dan beliau serta pengundi-pengundi terpaksa melalui beberapa sekatan jalan raya untuk tiba di kawasan tempat mengundi.

“Sejak awal pagi lagi sudah sesak dengan penyokong-penyokong kedua-dua parti yang tiba dengan pelbagai bendera, ‘banner’ dan laungan reformasi bergema begitu kuat sekali,” katanya.

Menurutnya, ramai wartawan dan jurugambar media tempatan dan asing sudah berhimpun sejak awal pagi lagi untuk menanti ketibaan Anwar.

“Proses pengundi setakat ini berjalan lancar, kelihatan ramai pengundi sudah tiba di pusat pengundian untuk mengundi,” ujarnya.

Harakahdaily difahamkan, menjelang hari pengundian terdapat beberapa keraguan timbul khususnya pada buku daftar undi, antaranya 710 nama pengundi Permatang Pauh pada tahun 2004 didapati hilang.

Khusus di Dun Seberang Jaya, jentera Pilihan Raya KeADILan dan PAS mendapati terdapat sehingga 80 nama didaftarkan dalam sebuah rumah pengundi.

“Selain dari 80 nama dalam sebuah rumah, ada banyak lagi 20 nama, 10 nama dalam sebuah rumah, jumlah ini tidak ada dalam PRU 8 Mac lepas.

“Yang hairannya keraguan ini berpusat di kawasan kubu kuat BN,” kata seorang petugas bilik gerakan Pakatan Rakyat.

8.55 pagi:Suasana di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Penanti semakin hangat dengan gelagat orang ramai yang masih menunggu kehadiran Anwar Ibrahim yang dijangka akan membuang undi di pusat pembuangan undi tersebut pada pukul 10.00 pagi nanti.

Kira-kira 100 meter dari pusat pembuangan undi tersebut penyokong-penyokong Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) sedang berkumpul.

Wartawan Intan Abdullah dan Nuha Rahim melaporkan jalan raya menuju ke pusat pengundian itu juga sesak sejak pukul 8.00 pagi lagi.

Kira-kira 100 anggota polis mengawal keadaan di tempat tersebut disamping kelihatan juga anggota FRU serta helikopter yang membuat tinjauan.

Kebetulan pusat pengudian tersebut terletak bersebelahan dengan IPD Kubang Seman.

9.30 pagi: Setakat ini keadaan masih lagi terkawal biarpun penyokong kedua pihak memenuhi kawasan tersebut terutama di bangsal panas yang terletak berhampiran dengan tempat mengundi.

Kereta-kereta yang membawa pengundi-pengundi kelihatan sibuk berulang alik membawa pengundi ke sekolah tersebut.

Suasana di Lebuh raya Butterworth Kulim expressway juga dipenuhi dengan penyokong-penyokong kedua-dua parti.

10.05 pagi: Dato’ Seri Anwar Ibrahim tiba di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Penanti pada jam 9.40 pagi bersama isterinya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk membuang undi.

Beliau yang berkemeja biru dan Wan Azizah yang berbaju kebaya merah jambu disambut sorakan gemuruh penyokong-penyokongnya yang sedia menanti dari awal pagi. Turut mengiringi anak-anaknya termasuk Nurul Izzah.

Anwar kelihatan keletihan dan dipimpin petugas untuk masuk ke bilik mengundi. Keadaan terkawal dan penyokong-penyokongnya melambai tangan ke arahnya.

10.45 pagi: Anwar yang berucap sebaik sahaja keluar dari tempat pengundian menyatakan pilihan raya hari ini bukanlah pilihan raya antara dua calon daripada parti yang berbeza, tetapi pilihan raya antara jentera kerajaan dengan dirinya.

Sementara itu, beliau yang ditanya media mengenai kes liwat yang dihadapinya, katanya buat masa ini fokus untuk beliau untuk menang dalam pilihan raya ini.

Katanya, perkara tersebut akan diperhalusi selepas pilihan raya berakhir.

Anwar menegaskan, BN sepatutnya sedar dan bangun dari realiti.

Katanya, undi kali ini merupakan undi penentu untuk perubahan dan bukannya untuk menang sebagaimana undi biasa.

Selain itu , katanya masih terlalu awal untuk menjangkakan mengenai jumlah majoriti yang akan diperolehi.

Namun beliau bersyukur dengan sokongan rakyat.

Apa yg penting katanya, semua pihak patut memberi ruang kepada pengundi.

Dalam pada itu katanya, sama ada akan wujud pengundi hantu, beliau menyerahkan kepada skuad gempur pengundi hantu yang dilancarkan oleh AMK semalam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: