Najib pula bersumpah di Permatang Pauh, tidak kenal Altantuya

mSTAR – PERMATANG PAUH: Ketika menghampiri hari pengundian kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh semakin rancak dengan perkembangan terbaru, Datuk Seri Najib Tun Razak bersumpah di Masjid Jamek Guar Perahu dekat sini malam tadi bahawa beliau tidak kenal dan tidak ada kaitan dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dengan perkembangan ini, beliau merupakan orang kedua bersumpah dalam tempoh seminggu ini, sekali gus menarik perhatian ramai.

Pada Jumaat lalu, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, melakukan sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan berhubung isu dia diliwat.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata: “Walaupun ini bukan sumpah rasmi yang dibuat atas al-Quran.

“Dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak kenal dan tidak ada kaitan dengan perempuan Mongolia,” kata beliau dipetik Bernama pada akhir ucapannya pada majlis penyampaian bantuan RM1.4 juta di Masjid Jamek Guar Perahu dekat sini.

Altantuya yang mati dibunuh pada 2006 di Puncak Alam, Selangor. Kes itu sedang dibicarakan di mahkamah dan telah memasuki peringkat penggulungan pihak pendakwaan.

Najib berkata: “Saya tidak tahu sama ada orang lain nak bersumpah atau tidak, tapi saya tahu saya tak buat salah. Ini antara saya dengan Tuhan.”

Selain ucapan bersumpah itu, yang turut mengejutkan banyak pihak ialah ucapan Konsul Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman yang berucap kira-kira 10 minit ketika Najib turut melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) di Guar Perahu.

Syed Abdul Rahman mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam telah melakukan satu pembohongan besar.

“Saya kesal kerana mereka menyifatkan diri mereka sebagai orang yang lebih mengetahui kes ini.

“Anwar menipu kononnya telah berjumpa bapa Altantuya di Mongolia, dan ketika itu saya telah mengetahui Anwar akan datang ke situ, dan bawa bapa Altantuya (Dr. Shaariibuu Setev) ke Rusia,” katanya.

Syed Abdul Rahman berkata: “Tiada siapa pun yang lebih tahu selain daripada saya, dan Anwar telah berbohong dengan pelbagai tuduhan terhadap Datuk Seri Najib.”

Syed Abdul Rahman berkata, tujuannya turut serta dalam ceramah itu adalah untuk memperjelaskan kekeliruan yang berlaku kerana perbuatan Anwar boleh menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Mongolia, dan beliau telah diarahkan oleh Perdana Menteri Mongolia Sanjaa Bayar untuk membantu.

Syed Abdul Rahman berkata, beliau berasa bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara itu kerana semakin beliau diam “rakyat makin keliru kerana pembohongan semakin menjadi-jadi dan saya rasa malu kerana nama pemimpin negara tak berkaitan dengan kes ini telah diburukkan oleh Anwar dan Raja Petra.”

“Sangat-sangat memalukan apabila nama pemimpin negara kita diburukkan di luar negara seolah-olah terbabit dalam kes ini, dan disebabkan itulah saya terpaksa menjelaskan kepada orang ramai mengenai pembohongan yang berlaku,” katanya.

Anwar pada setiap ceramah kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sering mengaitkan Najib dengan Altantuya, dan mendakwa Timbalan Perdana Menteri mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia itu.

Ini bukan pertama kali Anwar menggunakan isu itu malah pada pilihan raya kecil Ijok pada April tahun lepas, beliau turut menjaja isu yang sama.

Pada 3 Julai lepas, Anwar telah mempengerusikan sidang akhbar mengenai akuan bersumpah Balasubramaniam bertarikh 1 Julai yang mendakwa Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya, dan keesokkannya Balasubramaniam membuat akuan bersumpah kedua yang antara lain menarik balik tuduhannya itu.

Balasubramaniam, yang merupakan seorang saksi perbicaraan kes bunuh Altantuya, mendakwa semua tuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri dalam akuan bersumpah pertamanya itu adalah tidak tepat dan tidak benar, serta dibuat ketika dia dalam keadaan tertekan.

Sementara itu, Najib menyampaikan peruntukan itu untuk membaik pulih, menaik taraf dan membeli peralatan baru bagi lapan buah masjid dan 20 surau bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Penanti.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: