Sumpah dengan nama Allah pun bukan Islam ?

AGENDA DAILY – Bagi orang kebanyakan ‘ bersumpah’ mungkin menjadi mainan kata dalam kehidupan harian mereka.Itu kalau di luar dengan rakan-rakan dan sebagainya.

Namun lain halnya kalau sebut bersumpah Al-Quran dalam masjid.Belum dengar sesiapa yang berani main-main dengan cara ini.Kepercayaan yang menjadi sandaran ialah bala besar akan menimpa sesiapa yang berbohong setelah bersumpah begitu.

Benar tak benar itu bukan kita penentunya.Apapun Saiful Bukhari Azlan telah sanggup bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta Kuala Lumpur petang Jumaat untuk mempertahankan dakwaannya bahawa bekas majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meliwatnya.

Bagi kebanyakan orang juga jalan mudah dan ringkas ialah Anwar wajar sekali tampil bersumpah dalam masjid bagi mempertahankan beliau bercakap benar.

Soal kes ini sudah masuk mahkamah adalah soal lain.Apa yang semua orang nak tengok beliau sedia atau tidak bersumpah.

Namun Penasihat PKR itu tetap tidak mahu.Sabtu malam ketika berceramah di Permatang Pauh beliau memberi alasan dinasihatkan oleh para ulama besar termasuk dari luar negara yang beliau tidak perlu bersumpah.

Katanya jika nak ikut cara Islam kes ini harus dirujuk ke Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu mesti ramai yang terkedu mendengar Presiden sebuah parti Islam menyifatkan sumpah atau Mubahalah yang dibuat oleh Saiful sebagai tindakan bodoh dan tidak menurut syariat Islam.

Malah ramai macam tidak percaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin utama PAS mengeluarkan pendapat sebegitu semata-mata untuk mempertahankan Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat Saiful.

Mengulas sumpah Saiful petang Jumaat, Hadi berkata di Ipoh, Sabtu bersumpah menggunakan kitab suci bukan ajaran Islam sebaliknya merupakan amalan orang Kristian dan Yahudi.

Malah katanya, kes yang membabitkan zina dan liwat hendaklah dirujuk kepada undang-undang qazaf.

“Rujuk kepada mahkamah syariah mengikut Akta 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan iaitu kes untuk zina dan liwat,” katanya.

Beliau kemudiannya menuduh tindakan Saiful bersumpah telah diliwat oleh Anwar adalah agenda politik kotor terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri itu yang bertanding dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh.

Lebih dari itu beliau mendakwa Mufti Perlis Dr Mohd Asri yang menyarankan bahawa Anwar juga perlu bersumpah sebagai orang yang tak faham agama.

Hadi menegaskan PAS akan tetap membantu Anwar untuk memenangi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Pendapat beliau sama ada secara peribadi atau mewakili PAS, pasti bakal mengundang pelbagai cerita bukan sahaja dikalangan pemimpin dan ahli parti yang mendakwa memperjuangkan Islam tetapi rakyat negara ini amnya.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diminta mengulas kenyataan Presiden PAS itu berkata, itu pendapat Hadi tetapi pendapat ulama yang betul lain.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang pada awalnya sokong saranan Mufti Perlis supaya mereka bersumpah sebaliknya hari ini berkata kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Saiful Bukhari dengan memegang kitab suci Al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam.

Nik Aziz berkata perbuatan memegang atau menjunjung Al-Quran sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka.

“Dalam Islam sesiapapun bebas bersumpah untuk membuktikan dirinya benar tetapi bukanlah dengan memegang kitab suci Al-Quran kerana ia adalah perbuatan orang Kristian yang memegang kitab mereka ketika bersumpah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai rombongan barisan pembangkang mengiringi Anwar bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun berkata tindakan Saiful Bukhari bersumpah laknat itu adalah dibenarkan dalam Islam dan kini terpulang kepada keikhlasan pengakuannya bahawa beliau telah diliwat oleh Anwar.

Mengenai saranan supaya Anwar turut bersumpah, Nik Aziz berkata dalam Islam seseorang yang membuat pendakwaan harus bersumpah bahawa dakwaannya adalah benar dan kemudiannya tertuduh perlulah membela diri.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan semata-mata bertujuan menjatuhkan maruah dan karier politik suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, bekas pembantu peribadi kepada Penasihat PKR itu sengaja menimbulkan perkara itu bagi menghalang hasrat suaminya itu daripada memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini.

“Sumpah banyak kali pun, tetapi kalau tiada bukti dan doktor dah sah tiada apa-apa, sumpah dia tak boleh dipakai,” katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon pilihan raya kecil itu di Dewan Aminuddin Baki di Institut Perguruan Tuanku Bainun.

Beliau turut mendakwa Mohd Saiful Bukhari tidak mengetahui tujuan sebenarnya dia bersumpah.

Calon Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) yang turut bertanding di Permatang Pauh, Hanafi Mamat berkata, pandangan Hadi tidak mencerminkan pendirian agama.

Mudir Sekolah Pondok Padang Siam, Tanah Merah itu menyifatkan tindakan Saiful bersumpah adalah mencari jalan kebenaran.

Katanya, sumpah yang dibuat oleh Saiful adalah mengikut syarat.

Tindakan berani Saiful bersumpah al-Quran turut menjadi topik hangat perbualan pemimpin-pemimpin politik yang sempat ditemui Agendadily semasa penamaan calon pilihanraya kecil Permatang Pauh di di Institut Perguruan Tuanku Bainon dekat Bukit Mertajam.

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Firdaus Ismail juga terkejut melihat Saiful begitu yakin dan kuat semangat untuk bersumpah laknat termasuk kepada keturunannya.

“Ini sejarah yang besar dalam negara kita. Bukan senang seorang anak muda membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruahnya, keluarga dan keturunan.

“Ia bersumpah dengan nama Allah s.w.t. Bukan sama macam kita bersumpah atas nama manusia. Ini kita bersaksi dengan Allah, ia bukan main-main,” katanya.

Beliau menyarankan Anwar perlu membersihkan namanya dengan berbuat sama seperti dilakukan Saiful yakni bersumpah depan al-Quran.

Katanya, Anwar perlu berbuat demikian demi membersihkan nama dan moralnya.

Malah, exco Pemuda UMNO itu menyarankan pengundi Permatang Pauh mendesak penasihat PKR itu turut bersumpah macam Saiful.

“Bersumpah ini pembersihan moral, proses undang-undang (mahkamah) jalan macam biasalah kalau Anwar mahu macam itu,” katanya.

Bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Nor pula menggesa PAS menasihatkan Anwar membuat sumpah secara terbuka seperti Saiful bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

“Ini isu peribadi dia dengan Saiful. Jangan dipolitikkan,” katanya.

Bekas Setiausaha politik Anwar itu turut meminta PAS menasihatkan penasihat PKR itu berbuat demikian.

Baginya, inilah masanya PAS membuktikan bahawa mereka memperjuangan Islam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: