Menteri: Anwar berhak dapat laporan polis

MALAYSIAKINI – Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak mendapatkan salinan laporan polis berhubung dakwaan liwat yang dihadapinya untuk membuat pembelaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau tidak tahu mengapa salinan tersebut masih tidak diserahkan kepada Anwar walaupun dakwaan telah dibuat terhadapnya di mahkamah.

“Mengikut undang-undang, beliau berhak mendapatkan salinan laporan polis itu untuk membolehkan beliau membuat persediaan membela diri.

“Saya tidak tahu, anda perlu bertanya kepada pihak yang mengendali kes ini untuk mendapat sebab dan jawapan yang tepat.

“Saya hanya Menteri Dalam Negeri dan saya tidak terlibat dalam proses pendakwaan dan penyiasatan,” katanya ketika ditanya mengapa Anwar masih tidak menerima salinan laporan polis itu.

Menurut laporan Bernama, pada 7 Ogos lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Tidak ada sebab mengapa Anwar tidak boleh diberikan salinan itu kerana ia dibenarkan mengikut proses perundangan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Sasaran Penting di Putrajaya semalam.

Mengenai tindakan terhadap Majlis Peguam yang menganjurkan forum “memeluk Islam” Sabtu lepas yang telah menimbulkan ketegangan dan mengundang kemarahan pelbagai pihak, Syed Hamid berkata kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak tanpa melakukan siasatan terlebih dahulu.

“Jika kita mahu mengambil tindakan, kita perlu melakukan siasatan, bukan sewenang-wenangnya bertindak… perlu meneliti dari segenap aspek,” katanya.

Keselamatan negara

Syed Hamid berkata, walaupun terdapat tekanan agar tindakan dikenakan terhadap Majlis Peguam ekoran penganjuran forum seumpama itu, namun ia tidak boleh dilakukan kecuali jika terdapat bukti yang sahih bahawa mereka telah melakukan kesalahan yang menggugat keselamatan negara.

“Jika tiada perkara seumpama itu berlaku, kita hanya boleh memberi amaran agar mereka mengambil kira pandangan dan sensitiviti agama serta kaum lain.

“Kita tidak mahu dalam apa juga konflik atau permasalahan, Islam dianggap sebagai punca sedangkan ia adalah masalah sejagat yang perlu diberi perhatian sama rata oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, apa sahaja isu yang timbul seharusnya dibincangkan secara aman dan teliti supaya sebarang keputusan yang diambil tidak mencetuskan salah faham dan konflik yang berlarutan.

“Saya fikir kalau kita bincang baik-baik, tak ada masalah. Jangan fokus kepada isu tertentu,” katanya.

Sementara itu, Syed Hamid menafikan dakwaan bahawa kementeriannya mengeluarkan arahan melarang akhbar Katholik The Herald menyiarkan sebarang berita mengenai pilihanraya kecil kawasan parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata sebarang penulisan oleh akhbar berkenaan tertakluk kepada terma dan syarat perlesenan yang diberikan.

Katanya jika akhbar berkenaan hanya memohon lesen untuk penulisan bahan-bahan bercorak keagamaan sahaja, maka mereka perlu mematuhi aspek tersebut dengan tidak melibatkan mana-mana isu yang tidak berkaitan.

“Jika mereka keluar daripada skop yang ditetapkan, maka kami harus menyiasat sama ada mereka telah melanggar undang-undang atau tidak.

“Apabila agama dan politik dicampur-adukkan, ia boleh mendatangkan banyak masalah dan salah faham,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: