J/kuasa selesai pertikaian pasangan peluk Islam

MALAYSIAKINI – Pertikaian dan tuntutan yang timbul ekoran perceraian apabila salah seorang pasangan memeluk Islam boleh diselesaikan melalui rundingan dalam Jawatankuasa Bersama Peguam Syarie dan Sivil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perbincangan melibatkan tuntutan harta sepencarian, tuntutan penjagaan anak dan perkara berkaitan akan dibuat secara tertutup dalam kamar antara pasangan terlibat dengan peguam masing-masing (peguam syarie dan sivil).

“Perkara ini tidak akan didedahkan kepada masyarakat umum kerana ini akan mengundang interpretasi yang pelbagai dan implikasi negatif,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama, Ahmad Zahid berkata cadangan rundingan seumpama itu adalah antara rumusan yang dibuat jawatankuasa terbabit bagi menyelesaikan masalah berbangkit yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil.

Katanya rundingan sebegitu dipraktikkan oleh banyak negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan kepelbagaian agama.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan jabatan agama Islam lain memang bekerjasama dengan semua pihak termasuk majlis agama Islam negeri dan Mahkamah Syariah negeri untuk menangani masalah berkaitan.

Beliau menegaskan bahawa Majlis Peguam tidak perlu campur tangan dalam hal tersebut seperti yang cuba dilakukannya semalam dengan penganjuran forum memeluk Islam yang terpaksa ditamatkan lebih awal selepas mendapat bantahan meluas pelbagai pihak termasuk badan bukan kerarajaan (NGO) dan organisasi Islam lain.

Cadang dapatkan permit

“Memang apa pun sistem yang ada, ada kelemahan tetapi tidak mustahil untuk kita boleh memperbaikinya tetapi bukan dengan cara menyanggah daripada orang lain (merujuk kepada Majlis Peguam) yang tidak patut mencampuri hak dalam hal ehwal kita.

“Mereka boleh memberi pandangan tetapi biarlah dengan bijaksana bukan dengan bersikap kurang ajar seperti yang ditunjukkan (dalam forum itu),” katanya.

Ahmad Zahid berkata pada masa akan datang beliau berharap sebelum sesuatu forum atau seminar yang menyentuh hak orang Melayu dan agama Islam dibenarkan dan permit dikeluarkan, pihak polis hendaklah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) terlebih dahulu.

Ahmad Zahid berkata kedegilan Majlis Peguam harus diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana dikhuatiri mereka akan membangkitkan isu yang lain selepas ini.

Beliau berkata ia menampakkan usaha seolah-olah mahu mempertikaikan apa yang telah diperundangkan organisasi Islam dan institusi Islam yang sedia ada.

“Kita berharap biar pun jika terdapat beberapa kelonggaran atau kelemahan dalam undang-undang atau organisasi yang melaksanakan perundangan ini ia harus dibincangkan dengan kami bukan dengan membangkitkan dalam satu forum terbuka dengan memanggil wartawan luar negara.

“Ini satu agenda tersembunyi yang mahu menghina Islam, saya fikir ini bukan satu jalan mencari penyelesaian tetapi memburukkan orang lain. Kebetulan penganjur membawa kes contoh dan saya tidak fikir tiada agenda tersembunyi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata jika Majlis Peguam betul-betuk ikhlas, pihaknya bersedia untuk membuka pintu dan membincangkan perkara-perkara yang mereka cuba bangkitkan.

APA KOMEN ANDA ?

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: