SPR berniat jahat, tarikh buang undi Permatang Pauh pada hari bekerja? – Mahfuz

HARAKAHDAILY – KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa berniat jahat kerana menetapkan hari bekerja, Selasa 26 Ogos sebagai tarikh pembuangan undi bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar semasa mengulas pengumuman SPR hari ini berhubung tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Menurut Mahfuz, tindakan SPR ini sekali lagi mencetus kebimbangan kepada semua pihak terutamanya pengundi berdaftar di Permatang Pauh yang rata-ratanya golongan pekerja.

“Saya bimbang ini satu lagi taktik untuk mengurangkan peratusan keluar mengundi dalam agenda Umno-BN memastikan undi kepada Pakatan Rakyat berkurangan seklaigus boleh dijadikan bahan kononnya sokongan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkurangan,” katanya.

Beliau mempertikai tindakan SPR itu yang baginya satu sejarah sejak sekian lama pilihan raya umum dan kecil diadakan.

Ujarnya lagi, penetapan tarikh pembuangan undi itu hanya akan menyusahkan pengundi yang duduk di Permatang Pauh tetapi bekerja di Butterworth; Georgetown atau Balik Pulau.

“Jika mereka (pengundi yang bekerja di bahagian pulau) tidak mendapat cuti, bagaimana mereka hendak membuang undi dengan hanya pulang pada waktu rehat yang hanya ada masa satu jam untuk menunaikan kewajiban mereka sedangkan perjalanan dari bahagian pulau ke Permatang Pauh mengambil masa yang lama,” ujarnya.

Selain itu, beliau melihat bahawa tindakan SPR ini sebenarnya menghina Majlis Raja-raja Melayu yang bertanggugjawab melantik Pengerusi SPR dan anggotanya untuk memeganga amanah menjalankan tugas.

Malah bagi Mahfuz, sikap berdiam diri Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap tindakan SPR yang mengkhianati rakyat itu membayangkan adanya konspirasi dalam penentuan tarikh tersebut.

Justeru, beliau meminta SPR mengkaji semula penetapan tarikh itu dan mengubahnya kepada hari cuti bagi membolehkan semua pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau juga mendesak Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) berbuat sesuatu termasuk mengkaji tindakan undang-undang terhadap pengkhianatan SPR ini.

Dalam satu sidang media di Putrajaya pagi tadi, SPR mengumumkan, pengundi di Permatang Pauh akan menentukan ahli Parlimen baru kerusi itu pada 26 Ogos.

SPR yang bermesyuarat hari ini menetapkan hari penamaan calon pada 16 Ogos.

Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.

Namun sejak 1998, kerusi itu disandang oleh Presiden KeADILan, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyatakan seramai 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos layak membuang undi.

Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihan raya tersebut dikemaskinikan sehingga 31 Julai, katanya.

Beliau mengingatkan semua calon supaya tidak menyentuh sebarang isu yang melibatkan kes-kes petisyen pilihanraya umum lalu dalam kempen-kempen mereka.

Abdul Rashid juga menyeru calon-calon menjaga tatatertib berkempen dan mematuhi undang-undang.

Permatang Pauh merupakan satu daripada 13 kersui Parlimen di Pulau Pinang, memang ‘panas’ sejak 1999.

Majoriti pengundi kawasan ini terdiri daripada orang Melayu yang merupakan 68.5 peratus atau 40,039 daripada 58,449 pengundi kawasan itu, diikuti oleh kaum Cina seramai 14,489 orang atau 24.79 peratus dan India 3,581 orang (6.3 peratus) serta lain-lain 240 orang (0.41 peratus).

Kerusi Parlimen Permatang pauh meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Kerusi Dun Seberang Jaya, yang diwakili oleh Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN, mempunyai 22,678 pengundi iaitu Melayu 14,163 orang (62.36 peratus), Cina 5,436 (23.97 peratus), India 2,978 (13.13 peratus) dan lain-lain 122 (0.54 peratus).

Kerusi Dun Permatang Pasir yang diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS mempunyai 20,350 pengundi iaitu Melayu 14,715 orang (72.31 peratus), Cina 5,278 (25.94 peratus), India 328 (1.61 peratus) dan lain-lain 29 (0.14 peratus).

Kerusi Dun Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin dari KeADILan mempunyai 15,421 pengundi iaitu Melayu 11,181 orang (72.51 peratus), Cina 3,776 (24.49 peratus), India 375 (2.43 peratus) dan lain-lain 89 (0.57 peratus).

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Wan Azizah mengalahkan calon BN Dato’ Pirdaus Ismail dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 13,388 undi.

Namun, 31 Julai lalu beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.

Apa pandangan anda ?

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: