Permatang Pauh: SPR tidak beri layanan istimewa, Anwar masih diyakini menang

mSTAR – PETALING JAYA: Tinggal kurang 24 jam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal menetapkan tarikh pilihan raya kecil bagi kerusi Permatang Pauh, penganalisis-penganalisis politik masih yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali mewakili bahagian itu di Parlimen selewat-lewatnya awal bulan depan.

Prof. Dr Chandra Muzaffar, bekas ‘orang kanan’ Anwar yang membawa kepada penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 10 tahun yang lalu, yakin pemilihan kerusi ‘selamat’ Permatang Pauh sememangnya langkah bijak diambil Anwar untuk menjamin kemenangannya selepas menyandangnya dari 1982 hingga 1999.

“Memandangkan kepada faktor sejarah iaitu beliau merupakan penyandang kerusi itu sejak tahun 1982 hinggalah beliau ditahan pada 1998, mungkin tiada calon tempatan yang boleh menandingi Anwar.

“Calon untuk bertanding memanglah ada tetapi bolehkah beliau menandingi kekuatan Anwar?” kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Chandra, kini Presiden pertubuhan JUST keluar daripada Keadilan (kini PKR) kira-kira enam tahun yang lalu disebabkan beberapa faktor, termasuk tidak dapat menerima hala tuju parti tersebut.

Meskipun begitu, Chandra berpendapat bahawa walaupun bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd Noor menyatakan kesediaannya untuk mencabar Anwar di Permatang Pauh, tetapi ia bukan sesuatu yang boleh menggugat kedudukan Anwar di kerusi tradisinya itu.

“Ezam memang bersedia untuk bertanding tetapi beliau juga tidak dapat menjamin kemenangan BN kerana beliau bukan anak tempatan.

“Tambahan pula, beliau merupakan bekas setiausaha politik Anwar. Justeru dari segi budaya politik, orang tempatan tentunya tidak senang bila Ezam mencabar bekas ketuanya,” katanya.

Chandra berkata, antara faktor lain yang dilihat menjadi penghalang kepada BN untuk merampas kawasan tersebut adalalah keyakinan pengundi terhadap parti itu yang masih belum pulih sepenuhnya sejak pilihan raya umum lalu.

“Selain itu, pilihan raya ini akan berlaku ketika harga minyak masih tinggi dan ekonomi juga belum stabil yang merupakan masalah yang belum mampu diselesaikan kerajaan,” katanya.

Kata beliau, pilihan raya kecil ini berbeza dengan pilihan raya umum lalu kerana Permatang Pauh kini berada dalam negeri yang dikuasai oleh pembangkang.

“Sebelum pilihan raya umum, Pulau Pinang milik BN tetapi kini sudah menjadi milik DAP.

“Bagaimanapun, walau sesukar manapun jalan untuk BN, mereka tetap terpaksa bertanding,” katanya.

Chandra berkata, terpulang kepada BN untuk mengatur strategi di Permatang Pauh kerana mereka tentunya akan mengambil kira suara akar umbi tetapi katanya, BN seharusnya mengutamakan anak tempatan daripada orang luar.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, tiada keistimewaan diberikan dalam menguruskan pilihan raya kecil kali ini – yang pertama selepas pilihan raya umum ke-12.

Sebaliknya, kata beliau, ia akan diuruskan mengikut peruntukan perundangan – undang-undang pilihan raya.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil ini akan diadakan secepat yang mungkin, Abdul Rashid memberitahu, ia terpulang kepada anggota panel SPR untuk memutuskannya.

“Saya serahkan kepada anggota untuk membuat keputusan. Mereka akan menentukan esok (Rabu),” katanya.

Sementara itu, pensyarah sains politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azeem Fazwan Ahmad Faruk berkata, walaupun BN sedang mempertimbangkan beberapa nama yang berpotensi untuk mencabar Anwar, namun kerusi Parlimen itu memang sukar untuk dirampas.

“Sebelum Anwar, kerusi itu adalah milik PAS. Hanya apabila Anwar bertanding di situ pada 1982, kerusi tersebut menjadi milik BN.

“Kemudian, apabila isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah (Wan Ismail) bertanding, kerusi itu menjadi hak milik PKR.

“Justeru, kita dapat lihat pengundi lebih mengutamakan individu itu sendiri daripada parti,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kesediaan Ezam untuk mencabar bekas timbalan Perdana Menteri itu, Dr Azeem turut berpendapat, itu tidak akan menyumbang kepada kemenangan BN.

“Ezam bukan anak tempatan. Sedangkan Datuk Pirdaus Ismail (wakil BN di Permatang Pauh pada pilihan raya umum lalu) yang merupakan bekas imam dan berasal dari Pulau Pinang juga gagal merampas kerusi itu,” katanya.

Katanya, kerusi itu akan menjadi milik PKR memandangkan parti itu sentiasa bercakap mengenai kepentingan rakyat dan menunjukkan rasa simpati mereka ekoran kenaikan harga minyak.

“Itu antara kekuatan PKR. Anwar sering menyatakan yang beliau prihatin terhadap nasib rakyat berikutan kenaikan harga minyak sedangkan kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa berhubung isu itu,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ghazali Mahyuddin berkata, siapa pun yang diletakkan BN di Permatang Pauh tidak akan mampu menyekat kemaraan Anwar untuk mendapatkan kerusi itu.

“BN akan tetap memberikan saingan tetapi Permatang Pauh merupakan kubu Anwar. Justeru, agak sukar untuk merampasnya,” katanya.

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan tindakan Anwar memilih Permatang Pauh untuk bertanding sebagai langkah selamat tetapi katanya, Anwar juga mempunyai peluang untuk menang jika bertanding di kawasan lain memandangkan pengaruh besar yang ada padanya.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong selepas penyandangnya, Dr.Wan Azizah, yang juga Presiden PKR mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta merta pada Khamis lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di kawasan Parlimen berkenaan.

Kelmarin, Anwar sendiri menyatakan keyakinannya yang tinggi untuk menang dalam pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum ke-12 itu berdasarkan kekuatan parti yang telah menakluki kawasan berkenaan sejak sekian lama yang diwakili oleh Azizah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: