Kurang 50% yakin BN, Pakatan Rakyat penuhi janji pilihan raya

mSTAR – KUALA LUMPUR: Selepas empat bulan pilihan raya umum ke-12 berlangsung, rata-rata kurang 50 peratus rakyat negara ini yakin bahawa kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat akan memenuhi janji-janji yang dipertaruhkan semasa kempen selama 13 hari.

Kajian pendapat umum kendalian Merdeka Center menunjukkan, BN memperoleh keyakinan keseluruhan 40 peratus responden manakala Pakatan Rakyat pula 45 peratus – berhubung soalan sejauh mana kedua-dua perikatan itu akan menunaikan janji masing-masing.

Bagaimanapun dilihat daripada sudut sama ada “terlalu yakin akan menunaikan janji”, 13 peratus responden memihak kepada BN berbanding hanya lapan peratus ke atas Pakatan Rakyat.

Seramai 27 peratus responden agak yakin dengan BN dan 38 peratus responden agak yakin dengan Pakatan Rakyat.

Peratusan responden yang “agak tidak yakin” adalah tinggi bagi BN iaitu 36 peratus tetapi hanya 27 peratus di sebelah Pakatan Rakyat.

Malah, peratusan “sangat tidak yakin” juga agak tinggi bagi BN iaitu 19 peratus berbanding 15 peratus responden yang memihak Pakatan Rakyat.

Kajian ini dijalankan antara 4 dan 14 Julai lalu membabitkan 1,030 responden di Semenanjung menerusi temu bual telefon.

Pilihan raya umum ke-12 berlangsung 8 Mac lalu menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Selain itu BN juga kehilangan kuasa kerajaan negeri di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah, Kelantan dan Selangor.

Meskipun BN berkempen menggunakan manifesto sendiri tetapi Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS menggunakan manifesto sendiri, bukan atas nama Pakatan Rakyat.

Panggilan Pakatan Rakyat hanya diumumkan selepas keputusan pilihan raya umum diketahui.

————————————————————————————-

TAHAP KEYAKINAN TERHADAP BN DAN PAKATAN RAKYAT

BARISAN NASIONAL      PAKATAN RAKYAT

Sangat yakin                                 13%                                      8%

Agak yakin                                     27%                                    37%

Kurang yakin                                  36%                                   27%

Tidak yakin langsung                       19%                                    15%

Tidak tahu                                       4%                                      12%

Tiada jawapan                                  1%                                     1%

—————————————————————————————

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian ketika dihubungi memberitahu, pihaknya tidak terkejut dengan penemuan tersebut yang menunjukkan tidak sampai separuh rakyat negara ini yakin sama ada BN ataupun Pakatan Rakyat akan menunaikan janji-janji pilihan raya.

“Saya tidak terkejut kerana dari segi persaingan politik kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat masih belum ada keputusan muktamad… masih banyak perkara yang belum menunjukkan penyelesaian ketara,” katanya.

Sejak kali pertama selepas pilihan raya umum 1969, negara menyaksikan urutan perisitiwa politik hampir setiap minggu – termasuk yang terbaru keputusan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Ibrahim, ketika banyak pihak masih meletakkan harapan yang tinggi terhadap Pakatan Rakyat untuk melaksanakan apa yang dijanjikan, penemuan ini menunjukkan BN kehilangan sokongan ekoran sentimen selepas kenaikan harga minyak dan kesan susulan.

“Banyak pengundi merasakan mereka telah dibelakangi dengan keputusan kerajaan menaikkan harga minyak. Ini faktor utama (menyebabkan paras rendah tahap keyakinan ke atas BN),” katanya.

Jelas beliau, persekitaran pendapat umum kemungkinan berubah menjelang akhir tahun memandangkan Pakatan Rakyat “masih dalam tempoh berbulan madu” dan ada banyak perkara yang tidak boleh dilakukan oleh ikatan pembangkang itu disebabkan halangan batasan kuasa.

Berhubung soalan sejauh mana berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Rakyat, 57 peratus menyatakan persetujuan berpuas hati walaupun hanya sembilan peratus yang berada dalam kumpulan “amat berpuas hati”.

Bilangan responden yang “tidak berpuas hati” dan “sangat tidak berpuas hati” adalah seramai 32 peratus.

Berkaitan soalan yang sama membabitkan kerajaan persekutuan BN pula, 44 peratus “berpuas hati” dengan pakatan 14 parti komponen itu dengan “lapan peratus sangat berpuas hati”.

Seramai 54 peratus responden pula “tidak berpuas hati” dan “sangat tidak berpuas hati” dengan kerajaan persekutuan BN.

Hanya 42 peratus responden yang “berpuas hati” dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi manakala 54 peratus melahirkan pandangan sebaliknya.

Sama ada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak akan muncul sebagai Perdana Menteri yang baik kelak (ekoran pelan peralihan kuasa Jun 2010), 34 peratus “yakin” dengan kenyataan tersebut berbanding 47 peratus yang “tidak yakin” manakala 17 peratus “tidak pasti”.

Hanya kira-kira 36 peratus berpandangan bahawa Umno, anggota komponen utama BN, mencerminkan aspirasi dan keperluan rakyat negara ini manakala 33 peratus “tidak berpuas hati” dengan pandangan sedemikian.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: