Izin siswa berpolitik ke exco S’gor

MALAYSIAKINI – Kerajaan Selangor akan membincangkan kemungkinan membenarkan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi milik negeri itu untuk mendekati politik seperti kelulusan yang diberikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Exco pendidikan negeri Dr Halimah Ali berkata perkara itu akan dibawa kepada mesyuarat exco kerajaan hari ini yang bermula jam 2 petang.

Beliau memberitahu Malaysiakini, politik yang seharusnya didekati pelajar mestilah “politik yang bersih, baik dan bukan emosi”.

“Realitinya sekarang, Umno sudah masuk di universiti. Pembangkang yang belum masuk. Setiap parti yang mahu masuk universiti seharusnya mengikut norma-norma sedia ada,” katanya.

Dr Halimah berkata penglibatan pelajar dalam politik mestilah mengikut lunas undang-undang.

Kelmarin, pergerakan Pemuda PKR, PAS dan DAP pada dasarnya menyokong usaha membuka ruang kebebasan di kampus di negeri Pakatan Rakyat seperti UniMAP yang ditadbir oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Angkatan Muda PKR pula berhasrat menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri Pakatan minggu ini, kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin apabila diminta mengulas gesaan persatuan-persatuan siswa minggu lepas.

Parti Mahasiswa Negara (PMN), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyokong sekiranya kerajaan Pakatan – misalnya Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Antarabangsa Islam Selangor (Kuis) yang dimiliki kerajaan negeri – membuat keputusan mengambil pendekatan yang sama dengan UniMAP.

PKR, DAP dan PAS – sebelum menguasai empat lagi negeri dalam pilihanraya umum Mac lalu – sering menyuarakan isu kebebasan bersuara di IPT, termasuk berkempen bagi memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Awal bulan ini, naib canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, dengan mendekati politik secara positif, penuntut akan terdedah kepada  kemahiran berpidato, berhujah, berfikiran terbuka dan berani berhadapan dengan masyarakat.

Walaupun diberikan kebebasan itu, beliau dilaporkan yakin penuntut universitinya tidak akan melanggar AUKU.

“Setakat ini UniMAP bersih daripada sebarang rekod buruk sepanjang saya menjadi naib canselor selama enam tahun dan mereka faham hasrat universiti untuk melahirkan jurutera berkaliber dan serba boleh,” Dr Kamarudin dipetik sebagai berkata.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: