Misteri akuan bersumpah Balasubramaniam

AGENDA DAILY – Semua orang terkejut bila mendapat khabar P.Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpahnya pagi Jumaat.

Reaksinya memang sudah diduga – kata orang budak darjah satu tak perlu fikir panjang untuk mendakwa dia dipaksa dan satu lagi babak konspirasi menjelma.

Di satu segi lain lojiknya mana mungkin kerajaan mahu membuka diri pada andaian popular itu lagi ketika ini.

Misteri memang misteri apa lagi penyiasat persendirian yang pernah berkhidmat untuk Abdul Razak Baginda terus menghilang diri lepas menghadiri sidang akhbar ringkas di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Soalan terbesar sekarang apakah yang mendorong Balasubramanian buat U-turn selepas menarik perhatian satu negara hadir dalam sidang akhbar bersama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk umum dakwaan dalam akuan sumpahnya yang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sifatkan ‘pembohongan dashyat.’

Diketika jawapan pasti masih dicari petang Jumaat Naib Presiden PKR R Sivarasa dan peguam yang mengiringi Balasubramanian ke sidang akhbar di ibupejabat PKR Khamis,Americk Singh Sidhu tetap mempertahankan akuan bersumpahnya yang bertarikh 1 Julai dibuat tanpa paksaan.

Dalam sidang akhbar bersama mereka Sishu menceritakan kali terakhir beliau bersama Balasubramanian ialah pada jam 4.45 petang semalam di pejabatnya selepas sidang akhbar bersama Anwar.

Menurtutnya ketika itu Balasubramanian menerima panggilan telefon dari seorang pegawai polis, ASP Tony Lunggan.

Kata Sidhu beliau percaya pada semua yang dikatakan oleh Balasubramanian seperti yang dimuatkan dalam akuan bersumpah itu.

Sidhu tidak menolak kemungkinan Balasubramaniam menukar fikiran untuk tarik balik akuan bersumpahnya kerana dipaksa atau dijanjikan sesuatu.

Katanya beliau hanya tahu mengenai penarikan balik akuan sumpah 1 Julai oleh Balasubramanian bila dihubungi media pagi Jumaat.

“Saya sangat terkejut dalam tempoh 24 jam, dia menggunakan khidmat peguam baru dan bersumpah bahawa akuan pertamanya adalah tidak benar dan dia dipaksa untuk menandatanganinya,” katanya.

Peguam itu memberitahu mereka pertama kali bertemu dua bulan lalu di sebuah restoran bagi membincangkan mengenai penyediaan akuan bersumpah 1 Julai itu.

Sivarasa pula mencadangkan agar satu Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menyiasat kejadian ini.

“Episod ini mengesahkan sekali lagi apa yang disebutkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kaedah yang sama yang digunakan terhadap kes beliau iaitu memanipulasikan maklumat,” katanya.

Beliau menilai satu lagi jenayah berlaku yang menyebabkan Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpahnya.

Dalam perkembangan berkaitan Bernama melaporkan Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan berpendapat sesuatu akuan bersumpah tidak boleh ditarik balik.

Katanya akuan bersumpah itu dibuat mengikut prosedur betul dan disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah.

“Akuan bersumpah adalah dokumen yang mengandungi keterangan yang diberi di bawah ikrar. Pengakuan bertulis di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Dalam kes ini semua keterangan diberi secara bersumpah tidak boleh ditarik balik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sesuatu akuan bersumpah boleh diselitkan tambahan atau pembetulan dan seperti dalam kes di mana seorang saksi memberi keterangan palsu di mahkamah dan sesiapa yang membuat akuan bersumpah palsu boleh melakukan satu kesalahan,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama kes pembunuhan Altantuya, berkata Balasubramaniam mempunyai hak untuk menggantikan akuan bersumpahnya dengan yang baru.

“Beliau tidak perlu melalui proses di mahkamah untuk akuan bersumpah yang baru, tetapi apakah status akuan yang sebelumnya?. Adakah ia satu penipuan?.

Terserah kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan ke atasnya,” kata Hazman yang dihubungi Bernama.

Peguam Hasnal Redzua Marican yang mewakili Koperal Sirul Azhar Omar, tertuduh kedua kes yang sama, berkata tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan akuan bersumpah ditarik balik.

Peguam Amer Hamzah Arsyad berkata perbuatan Balasubramaniam adalah tidak wajar dan seolah-olah mempermainkan undang-undang negara.

Tambahnya, bekas anggota polis itu sepatutnya berpendirian teguh dengan setiap dakwaan dalam kenyataannya sebelum ini.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu polis akan menjalankan siasatan terhadap dua akuan bersumpah yang dibuat oleh Balasubramaniam walaupun beliau menarik balik tuduhan yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri dengan Altantuya


“Polis akan siasat kedua-duanya. Yang semalam kita siasat dan yang ditarik (balik) hari ini juga kita siasat,” katanya.

Ismail berkata polis akan tetap menyiasat akuan bersumpah pertama Balasubramaniam kerana beliau (Balasubramaniam) mungkin mempunyai niat yang terselindung.

“Mungkin ada niat untuk mengaburi mata orang ramai, jadi kita kena siasat keseluruhannya,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: