Fitnah bermaharajalela, Abdullah tolak khabar angin negara dalam darurat

mSTAR – Keadaan negara adalah aman dan selamat, dan rakyat tidak perlu bimbang dan percaya dengan khabar angin yang mendakwa negara kini dalam keadaan darurat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keadaan ekonomi dan keselamatan negara juga dalam keadaan terkawal dan rakyat tidak sepatutnya terlampau teruja dengan apa yang berlaku di negara pada masa ini.

“Negara tidak berada dalam keadaan darurat. Kerajaan ini sebuah kerajaan yang stabil, percayalah.

“Keselamatan negara ini masih terkawal dan berada dalam keadaan mengawal semua (perkara).

“Kita tahu apa yang sedang berlaku dan negara ini akan aman dan selamat dan pada hari ini pun (selamat),” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Abdullah ditanya mengenai sitausi negara pada masa ini daripada segi ekonomi dan keselamatan.

Kata beliau, kerajaan akan bertindak jika terdapat sebarang masalah dan menegaskan pada masa ini semuanya berjalan dengan baik, termasuk daripada segi pentadbiran kerajaan dan pelaksanaan projek.

Mengulas andaian kononnya latihan bersama yang diadakan antara Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera menunjukkan negara menghadapi darurat, beliau berkata, rakyat tidak sepatutnya bimbang dengan perkara itu.

“Rakyat tidak perlu bimbang. Mereka (tentera dan polis) boleh mengadakan latihan bersama jika mereka mahu. Mereka mahu berkoordinasi. Ini (latihan) tidak patut dianggap atau diandaikan sebagai sesuatu yang kita perlu bimbangkan,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, fitnah kini bermaharajalela dalam negara kerana terlalu banyak khabar angin yang menyusahkan hati rakyat.

“Banyak sangat khabar angin. Buat cerita, tabur fitnah itu ini..tak habis-habis. Seolah-olah fitnah bermaharajalela.

“Ini menyebabkan rakyat tak pernah senang. Dengar cerita yang bukan-bukan dan mudah sangat percaya.

“Mereka jadi kelam kabut dan tambah-tambah lagi (cerita) dan jadi makin teruk, bukan makin baik,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan berada dalam keadaan stabil dan akan mengawal jika timbul sebarang masalah.

“Kerajaan kita stabil… tolong percaya. Kerja-kerja dan pentadbiran berjalan. Bila ada masalah, kita akan bertindak untuk mengawal.

“Jangan terlalu teruja dan kelam-kabut dengan apa yang berlaku,” katanya.

Abdullah berkata, sepanjang 35 tahun terbabit dalam dunia politik, beliau tidak pernah melihat terlalu banyak perkara yang berlaku termasuk khabar-khabar angin yang membimbangkan rakyat.

Katanya, terbaru beliau diberitahu oleh pegawainya bahawa terdapat khabar angin yang mengaitkan pemuda yang menuduh Anwar meliwatnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, mempunyai kaitan dengan keluarga menantu perempuannya.

“Ada yang kata, Saiful adalah anak angkat kepada keluarga menantu perempuan saya. Apa itu… tak pasal-pasal.

“Belum tahu lagi betul atau tidak (khabar angin) tapi orang dah tanya,” katanya.

Ditanya mengenai tuduhan terbaru yang dihadapi timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, beliau enggan mengulas lanjut dan menyifatkan ia subjudis kerana hal itu masih dalam perbicaraan mahkamah.

“Beliau ada memberitahu saya tadi tapi kami tidak membincangkannya. Bagaimanapun, beliau ingin mendapatkan pandangan Peguam Negara,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: