Pelajar UTM ditahan di selatan Thai

MALAYSIAKINI – Seorang daripada dua rakyat Malaysia yang ditahan di Sungai Golok, Narathiwat Sabtu lalu dan disyaki mempunyai hubungan dengan militan selatan, adalah pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor.

Menurut sumber tentera Thai, pelajar kelahiran Melaka berusia 23 tahun itu memberitahu penyoal siasat bahawa dia mengambil kursus kejuruteraan mekanikal dan mempunyai gred mata purata 3.2 tetapi gagal menduduki peperiksaan tahun akhir.

“Pelajar itu berkata seorang pelajar yang dikenalinya di Selangor membawanya ke Kelantan dua bulan lalu untuk belajar agama. Dia diperkenalkan kepada seorang ustaz di Jalan Bayam, Kelantan,” katanya.

Menurut laporan Bernama, seorang lagi suspek, remaja berusia 17 tahun, datang ke Kota Bharu dari Selangor bersama ibunya dua tahun lalu setelah bapanya meninggal dunia.

Sumber itu berkata siasatan menunjukkan bahawa ustaz terbabit amat dikehendaki oleh pihak berkuasa Thai dan berasal dari daerah Sungai Padi di Narathiwat.

Sepanjang tempoh dua bulan mereka tinggal di Kota Bharu, pelajar itu mendakwa mereka diajar kaedah peperangan, bagaimana bertempur menggunakan pisau atau fizikal, dan perkara ini dilakukan bersama dua lagi remaja tidak dikenali dalam rumah itu.

Sabtu lalu, pihak berkuasa Thai menahan kedua-dua lelaki itu di Sungai Golok, dan menjumpai pisau, pemetik api, benzin, dan topi benang bulu.

Puak pemisah

Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Polis Prabpal Meemongkol berkata kedua-dua lelaki terbabit mengaku mereka datang untuk membuat kacau di kawasan berkenaan.

Lebih 3,300 orang terkorban sejak keganasan memuncak di tiga wilayah selatan iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani apabila puak pemisah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah dengan majoriti penduduk Islam itu, yang bersempadan dengan Malaysia.

Sumber itu berkata pada 27 Jun, ustaz terbabit menyuruh mereka masuk ke Selatan Thai tanpa sebarang dokumen dan menimbulkan kekacauan, tetapi pengawal kampung yang melihat mereka berkelakuan mencurigakan terus menghubungi polis.

Beliau berkata ini kali pertama rakyat Malaysia ditahan dan mengaku mempunyai hubungan dengan militan.

Jurucakap tentera, Kol Akara Thiproj ketika dihubungi berkata siasatan awal mendapati ibu seorang daripada suspek itu mempunyai seorang saudara perempuan di kawasan Sungai Padi.

Beliau berkata pihak berkuasa masih belum menentukan sama ada untuk menahan mereka kerana pembabitan dengan puak pemisah, sambil menambah bahawa tentera, polis dan pendakwa akan membuat keputusan selepas siasatan selesai.

“Bagaimanapun mereka sudah tentu akan didakwa memasuki negara ini secara tidak sah. Kami juga berharap memperoleh lebih banyak maklumat dari mereka di mana ustaz itu berada,” katanya.

Bangkok telahpun menggerakkan lebih 20,000 tentera ke tiga wilayah selatan, selain empat daerah di Songkhla untuk menentang kumpulan puak pemisah yang menggunakan taktik gerila dan bom pinggir jalan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: