GEMPAR!!! Kilang haram cetak al-Quran

HARIAN METRO – Menggemparkan apabila sebuah syarikat penerbitan milik seorang kenamaan dikesan mencetak dan menerbitkan kitab suci al-Quran serta tafsirnya secara besar-besaran tanpa permit semata-mata untuk mengaut keuntungan lumayan.

Syarikat penerbitan terbabit yang beroperasi di Seri Kembangan dekat sini, sewenang-wenang mencetak kedua-dua naskhah berkenaan dalam kilang yang sengaja ditutup pada bahagian hadapan bagi mengaburi aktiviti haram itu.

Lebih membimbangkan apabila sebahagian daripada kertas buangan yang tercetak ayat suci al-Quran dibiarkan bersepah di lantai oleh pekerja, sebilangannya difahamkan pekerja asing termasuk warga Indonesia dan Bangladesh dipercayai bukan Islam.

Hasil risikan dan intipan, seramai 15 pegawai KDN diketuai Ketua Unit Penguat kuasa Bahagian Kawalan Penerbitan KDN Putrajaya, Zailani Hashim, menyerbu kilang terbabit, tengah hari semalam.

Sumber penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, serbuan terpaksa dilakukan melalui pintu belakang kilang terbabit berikutan bahagian hadapan didapati tertutup dengan ditampal pelekat bangunan untuk disewa.

Hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 19 longgokan kertas yang tercetak 30 juzuk al-Quran seberat lebih 10 tan yang boleh dijilid menjadi 4,404 naskhah al-Quran.

“Ia dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat KDN di Putrajaya untuk tindakan lanjut. Ada juga kulit jilid Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Al-Quran (30) Juz dijumpai.

“Setakat ini, kami masih menyiasat pihak yang menjadi pembekal dan pengedar al-Quran terbitan syarikat haram itu di pasaran,” katanya.

Menurutnya, tindakan mencetak dan menerbitkan al-Quran tanpa kelulusan KDN adalah kesalahan serius yang perlu diambil tindakan tegas.

Mengikut undang-undang, kata sumber itu, semua bentuk pencetakan dan penerbitan yang mengandungi ayat al-Quran sekurang-kurangnya satu juzuk wajib mendapatkan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) terlebih dahulu.

“Arahan itu perlu dipatuhi setiap syarikat penerbitan atau percetakan bagi memastikan kesahihan selain mencegah penyelewengan teks dan bahan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, satu laporan dibuat di Balai Polis Seri Kembangan sejurus serbuan dan rampasan terbabit.

Sumber itu berkata, pemilik syarikat terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Percetakan Teks al-Quran kerana mencetak al-Quran tanpa lesen yang boleh membawa hukuman denda RM10,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Syarikat yang ingin mencetak atau menerbitkan al-Quran diwajibkan memohon lesen berdasarkan peruntukan Seksyen 5(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 (APTQ) daripada LPPPQ, KDN.

Mengikut prosedur ditetapkan, katanya, pemohon antara lain perlu mengisi borang dan mengemukakan dokumen seperti salinan lesen mesin cetak yang sah, salinan surat pendaftaran, senarai nama pekerja dan beberapa maklumat penting lain.

Mereka perlu juga menghantar pruf akhir al-Quran yang siap dicetak bagi mendapatkan kelulusan dan perakuan daripada LPPPQ bagi menunjukkan ia betul serta sahih.

Selain itu, pastikan bahan buangan yang tercetak ayat suci al-Quran dimusnahkan serta-merta dengan membakarnya di tempat bertutup berdasarkan peraturan.

“Jika arahan itu gagal dipatuhi, syarikat boleh didakwa mengikut Seksyen 13(2) APTQ yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya,” kata sumber terbabit.

Mana-mana pihak yang mahu mengedarkan al-Quran hendaklah merujuk kepada laman web KDN bagi mengenal pasti senarai syarikat yang sudah diberi lesen oleh LPPPQ.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: