CINTA SIBER : Pusaka gadis seksi

HARIAN METRO – KUALA LUMPUR: Hati lelaki mana tidak tergoda melihat gambar gadis Afrika dalam aksi menggiurkan, apatah lagi apabila dijanjikan mengecapi mahkotanya jika sanggup membantu menyelesaikan masalah peribadinya.

Namun, itu hanya helah sindiket penipuan warga Afrika yang beralih kepada taktik baru dengan menyamar gadis gersang selain menggunakan gambar wanita seksi serta menggoda sebagai umpan meraih cinta seks sebelum mangsa diperdaya melalui skim penipuan harta wasiat.

Suspek yang menyamar gadis kesunyian akan menghantar foto dirinya melalui e-mel kepada lelaki bagi membuatkannya percaya dan cair sebelum dipujuk membantu memindahkan kononnya wang wasiat berjumlah puluhan juta dolar Amerika dari beberapa bank di Eropah.

Melalui taktik terbaru cinta siber ini, sindiket terbabit menggunakan pendekatan halus dengan berpura-pura terlebih dulu menjalin hubungan intim bagi memerangkap mangsa yang akhirnya sanggup membantu.

Selepas beberapa bulan berkenalan di dunia maya, gadis Afrika terbabit turut berjanji berkunjung ke Malaysia bertemu mangsa dan menyerahkan kehormatan dirinya sebagai balasan membantu memindahkan wang wasiat berkenaan.

Seorang mangsa, Yushairi Mohd Ismail, 29, berkata penipuan halus berkenaan hanya terbongkar selepas dia menjalin hubungan intim dengan seorang gadis Afrika bernama Vivian Jonase, 23, sejak 2 Ogos lalu.

Menurutnya, perkenalan mesra berkenaan bermula selepas dia menerima e-mel daripada gadis terbabit yang menyatakan hasrat berkenalan pada peringkat awal.

“Saya yang sememangnya tidak mempunyai kenalan dari luar negara mula teruja apabila menerima kiriman e-mel daripada gadis berlainan bangsa apatah lagi dia kini tinggal di Eropah.

“Yang jelas saya langsung tidak mengesyaki ia satu taktik penipuan berikutan gadis berkenaan seolah-olah jujur ingin mencari rakan baik untuk mengisi kekosongan hati tanpa sedikit menyentuh soal wang,” katanya.

Pada peringkat awal persahabatan, topik perbualan mereka hanya berkisar soal latar belakang, hobi masa lapang dan bertukar pandangan berkaitan isu agama dan politik semasa.

“Bermula daripada perkenalan itu, gadis berkenaan memberitahu dari Liberia, selatan Afrika dan kini tinggal di kem pelarian di Madrid, Sepanyol akibat perang saudara di negaranya,” katanya.

Gadis itu memberitahu Yushairi bahawa bapanya yang juga pengarah Syarikat Bamena Industri mati dibunuh dalam kejadian serangan puak pelampau awal pagi yang turut mengorbankan hampir semua anggota keluarga.

“Kisah sedihnya itu membuatkan saya hampir percaya berikutan jalan cerita yang diolah gadis terbabit begitu teliti dan menyentuh naluri saya,” katanya.

Bagi menunjukkan kesungguhannya, gadis itu turut mengirimkan gambar yang didakwa dirinya.

“Pertama kali melihat gambar terbabit, saya teruja berikutan Vivian jelas seorang gadis menawan dan mempunyai potongan badan menarik walaupun berdarah Afrika.

“Dia tidak henti-henti memuji keikhlasan hati saya berkawan dengannya sambil menyatakan keinginannya menjalin hubungan lebih jauh dengan saya,” katanya.

Dia turut berani menceritakan aktiviti seksual liarnya selain menawarkan diri untuk melakukan perbuatan sama dengan mangsa.

Menurut Yushairi, niat jahat gadis berkenaan mula terbongkar apabila dia secara halus memintanya membantu memindahkan wang wasiat yang dianggarkan berjumlah AS$41.5 juta (RM141 juta).

“Vivian mendakwa wang itu ditinggalkan bapanya dengan menjadikan namanya sebagai pewaris. Bagaimanapun, ia kini disimpan di sebuah bank di Belanda dan tidak berupaya mengeluarkannya dengan alasan berada di kem pelarian.

“Oleh itu, dia meminta saya membantu memindahkan wang berkenaan ke akaun bank saya di Malaysia dengan harapan wang terbabit boleh digunakan memulakan kehidupan barunya di negara ini, kelak. Dia meminta saya menghubungi bapa saudaranya bernama Olson di Amerika Syarikat untuk membantu saya menguruskan pemindahan wang itu,” katanya.

Yushairi yang bekerja sebagai pegawai tadbir di sebuah jabatan kerajaan turut terkejut apabila gadis berkenaan beria-ia ingin menyerahkan tubuhnya sekiranya dia bersetuju membantu.

“Ini membuatkan saya sedar ia sebahagian taktik penipuan Internet. Saya mengesyaki diperdaya hidup-hidup lelaki yang menyamar sebagai wanita Afrika selain menggunakan gambar dipercayai diambil daripada Internet,” katanya.

Sementara itu, rakan sekerja Yushairi yang hanya mahu dikenali sebagai M Halim, 26, berkata dia turut menerima e-mel sama daripada seorang gadis Afrika yang kini mendakwa tinggal di Lisbon, Portugal.

Menurutnya, gadis berkenaan hanya mengambil masa lima hari untuk berkenalan sebelum mengirimkan gambarnya dengan hanya memakai bikini hijau.

“Tidak sampai seminggu kemudian, dia turut meminta bantuan saya untuk memindahkan wang wasiat milik keluarganya berjumlah AS$80 juta (RM272 juta) dari sebuah bank di Switzerland.

“Bagaimanapun, saya langsung tidak melayan permintaan gadis terbabit yang menggunakan nama samaran seperti Anna, Angelina, Jennifer dan pelbagai nama lain,” katanya yang turut ditawarkan sagu hati AS$20 juta (RM68 juta).

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: