KOSMO! – JOHOR BAHRU - Polis semalam mendapat perintah tahanan reman ke atas anak seorang pemimpin kanan MIC negeri selama seminggu hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy.
Lelaki berkenaan berusia 36 tahun ditahan di Seri Alam di sini 12.10 tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dalam satu kenyataan di sini memaklumkan bahawa lelaki berkenaan ditahan reman sehingga 12 September ini bagi membantu menyelesaikan kes tersebut.
Katanya, perintah tahanan reman terhadap lelaki itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, usaha jurugambar akhbar untuk merakam gambar tahanan reman di Balai Polis Daerah Johor Bahru Selatan gagal apabila mereka tidak dibernakan berbuat begitu.
Pada 11 Januari lalu, Krishnasamy ditemui mati di dalam lif bangunan MIC di Jalan Segget di sini dengan kesan tembakan di bawah kening kirinya.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki dilihat melarikan diri menggunakan motosikal Yamaha RXZ merah menghala ke Jalan Wong Ah Fook sejurus Krishnasamy ditembak pada pukul 2.10 petang.
Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah individu yang ditahan kepada lima orang tetapi semuanya telah dibebaskan setelah tiada bukti mengaitkan mereka dengan pembunuhan itu.
Difailkan dalam: Barisan Nasional, Isu Jenayah, Isu Semasa, MIC, Politik, Umno, Undang-Undang



























