Samy bijak gerak caturan politik, isu pengganti kelirukan ahli

mSTAR – KUALA LUMPUR: Antara persoalanan yang bermain di fikiran ramai kaum India di Malaysia, terutama anggota MIC ketika ini ialah siapa yang akan mengambil alih tempat Datuk Seri S.Samy Vellu sebagai Presiden, bagi parti terbesar kaum India dalam negara itu.

Jawapannya masih menjadi misteri walaupun selepas pemimpin veteran yang memimpin parti itu sejak 1981 mengumumkan bahawa pilihan raya umum pada Mac lepas adalah yang terakhir baginya, dan beliau akan mengosongkan kedudukan beliau dalam parti itu pada tahun 2012.

Walaupun ada beberapa calon berpotensi untuk menggantikannya, ketiadaan ‘perbincangan’ mengenai penggantinya dalam parti itu menambahkan lagi misteri mengenai siapa yang akan mengambil alih kepimpinan parti daripada Samy.

Penggantinya nanti dilihat berhadapan dengan tugas amat sukar dalam memulihkan kekuatan parti yang kalah dalam enam kerusi parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya lepas.

Persoalan itu tambah meruncing apabila bekas Menteri Kerja Raya itu pada perhimpunan agung ke-62 MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam menyatakan bahawa MIC yang mempunyai keanggotaan 630,000 orang, tidak mempunyai pelan pengganti, tapi akan “menyerahkan perkara itu kepada akar umbi untuk memilih pemimpin seterusnya”.

“Akar umbi boleh memilih pemimpin berikutnya. Tidak ada pelan pengganti automatik dalam MIC. Akar umbi boleh pilih siapa sahaja yang mereka mahukan,” katanya.

Menurut beberapa pemerhati politik, kenyataan presiden itu berbeza sama sekali daripada kenyataannya selepas pilihan raya parti 2006, apabila beliau menyuarakan sokongannya terhadap bekas setiausaha akhbarnya Datuk G. Palanivel, yang menewaskan penyandang timbalan presiden Datuk S. Subramaniam, untuk menjadi pemimpin nombor dua parti.

Bagaimanapun kenyataan terbaru Samy Vellu itu kemungkinan memberi laluan kepada ramai calon-calon yang berkelayakan yang berhasrat merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan akan datang, memandangkan timbalan itu nanti akan mengambil alih kepimpinan parti apabila Samy Vellu bersara.

Menurut pemerhati, ini pasti akan membawa kepada lebih banyak ‘politiking’ dalam parti, sekaligus menambah lagi keadaan ‘parah’ yang dialami parti itu selepas pilihan raya 8 Mac lepas.

“Keadaan semasa nampaknya bukan sahaja menjadikan parti berhadapan dengan masalah sokongan yang semakin merosot, tapi parti juga dilihat sebagai antara parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tidak mempunyai sebarang pelan pengganti kempimpinan. Ia pasti membawa imej buruk kepada kepimpinan semasa,” menurut sumber dalaman parti itu yang enggan mendedahkan namanya.

Menurutnya lain-lain komponen parti BN seperti MCA dan Umno sudah mengumumkan, atau kelihatan seperti menyediakan pelan pengganti kepimpinan, namun isu ini langsung tidak dibangkitkan pada perhimpunan agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Bagaimanapun fokus terhadap pilihan raya umum akan datang sebaliknya bertumpu kepada usaha menjenama semula parti serta ideologinya, serta perbincangan yang amat terhad dalam isu pelan pengganti, yang sekaligus membangkitkan rasa tidak senang hati di kalangan beberapa pihak.

Samy sebaliknya melontarkan kenyataan yang lebih mengusutkan pada perhimpunan itu dengan katakata: “Saya serahkan keputusan melantik saya kembali sebagai presiden parti ini pada pemilihan parti akan datang kepada 3,600 pengerusi cawangan. Saya rasa tiada apa yang boleh berlaku tanpa pemilihan”.

Menurut pemerhati, kenyataan ini cukup mengelirukan kerana bukan sahaja tiada pengganti yang dinamakan, malah perwakilan sendiri masih belum pasti sekiranya pemimpin parti akan mengosongkan jawatannya menjelang 2012.

Menurutnya ramai perwakilan berpendapat kenyataan itu sebagai “retorik seperti biasa” memandangkan ia tidak mempunyai sebarang makna sebenar, kerana beliau pasti akan dicalon semula dan memenangi jawatan tertinggi parti tanpa dicabar.

Beberapa pemimpin akar umbi yang hanya bersetuju untuk ditemuramah Bernama sekiranya nama mereka dirahsiakan berkata, Samy Vellu pasti tidak akan dicabar kerana “tiada siapa yang berani berbuat demikian”.

“Sesiapa yang cuba merebut jawatan tertinggi parti, pasti akan dijatuhkan, itu sebabnya tiada siapa yang berani bersuara,” katanya.

Ada kalangan mereka berkata isyarat dari peringkat akar umbi sudah jelas bahawa mereka ‘tidak berpuas hati’ dengan keputusan Samy untuk terus menerajui parti sehingga 2012, dan beliau seharusnya menyerah kuasa kepada timbalannya lebih awal.

Bagaimanapun semasa soalan itu dikemukakan kepada Samy semalam, beliau menolak kenyataan itu dengan berkata “Sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan saya, mereka pasti tidak akan datang ke mesyuarat ini”.

Bagaimanapun ada juga pihak yang menyatakan bahawa mereka tidak terlalu ambil berat mengenai pelan peralihan, atau sama ada Samy perlu terus memimpin sehingga 2012.

Pengerusi MIC cawangan Seremban Datuk M. Muthupalaniappan, yang juga bekas timbalan presiden MIC berkata walaupun pelan pengganti itu penting, keutamaan kini adalah mengukuhkan parti menerusi langkah penjenamaan semula.

Katanya beliau percaya MIC akan dapat mengembalikan sokongan kirakira 1.8 juta kaum India di Malaysia, tidak kira sama ada terdapat pelan peralihan kuasa bagi kepimpinan tertinggi parti ataupun tidak.

“Jaminan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membantu kaum India terutama dalam bidang pendidikan akan membantu MIC. Ia adalah perkara yang lebih penting daripada persoalan siapa yang akan mengambil alih parti.

“Pendidikan adalah kunci kejayaan dan kemajuan negara bergantung kepada rakyatnya. Langkah yang diambil kerajaan akan membantu kaum India untuk maju setanding dengan lainlain kaum dalan negara,” katanya.

Setiausaha Wanita MIC Selangor J. Malika pula percaya bahawa kekuatan MIC akan kembali, tidak kira sekiranya ada peralihan atau pun tidak.

Beliau berkata ada ramai pemimpin dalam MIC yang mampu membantu dan membangunkan masyarakat.

“Penjenamaan semula muncul dengan idea-idea baru, dan pemimpin kini mempunyai idea yang lebih jelas mengenai cara membantu masyarakat. Kami akan serahkan kepada presiden untuk menanganinya, dan kami percaya beliau memiliki keupayaan untuk melaksanakannya,” katanya. BERNAMA

Tinggalkan jawapan