Ramai mengalah – Kos projek naik, kontraktor angkat ‘bendera putih’

KOSMO! – Kos pembinaan yang meningkat mendadak sehingga 45 peratus kini mungkin menyebabkan ramai kontraktor mengangkat ‘bendera putih’ dan mencetuskan kebimbangan banyak projek akan terbengkalai.

Malah jika kontraktor meninggalkan projek begitu sahaja, besar kemungkinan ia sukar dipulihkan kerana kos menyambung semula apa yang ditinggalkan pasti naik dua atau tiga kali ganda dalam tahun mendatang.

Menyedari risiko masalah itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd. Zin Mohamed mahu semua kakitangan kementeriannya mencari jalan mengatasi masalah itu secepat mungkin.

“Bila kos naik secara mendadak antara 35 ke 45 peratus, ini sudah tentu banyak memberi kesan kepada prestasi (industri) ,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini semalam.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Mohd. Zin berkata, pembekal bahan binaan tempatan harus bersifat patriotik dengan mengutamakan pasaran tempatan dan bukan mengeksport ke pasaran lebih lumayan.

Tinggalkan jawapan