SHAH ALAM, 20 Mei (Bernama) — Kerajaan Selangor akan menyiarkan persidangan penggal pertama Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-12 yang bermula esok secara langsung menerusi kaedah “video streaming” di portal rasmi kerajaan negeri di http://www.selangor.gov.my.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata para pelayar internet boleh menyaksikan upacara pembukaan persidangan yang akan disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada pukul 8 pagi esok.
Siaran langsung itu akan disiarkan mulai esok hingga 23 Mei dan 26 Mei sepanjang tempoh persidangan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga pukul 4.30 petang, katanya pada satu sidang akhbar di sini Selasa.
Rakyat, kata beliau boleh mengikuti perbahasan di dalam dewan dan menyaksikan kepimpinan serta ketokohan wakil-wakil rakyat yang mereka pilih.
Rodziah berkata kos siaran langsung selama empat hari itu dianggarkan kira-kira RM13,000.
– BERNAMA
Difailkan dalam: Barisan Nasional, DAP, Demokrasi, Isu Semasa, PAS, PKR, Pakatan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat, Persidangan Dewan Rakyat, Pilihanraya, Politik, Umno



























