Info Dipetik : Kosmo 11 Mei 2008
KUALA LUMPUR – Asalkan boleh mendatangkan hasil, ada lelaki yang sanggup berpura-pura mencintai
seorang wanita sehingga ke alam perkahwinan tetapi hakikatnya mempunyai niat buruk tersembunyi.
Antaranya menjadikan isteri yang dikahwini secara sah itu sebagai pelacur!
Itulah cara yang dikesan dilakukan oleh sindiket pelacuran yang menyasarkan gadis-gadis di pedalaman daripada keluarga susah dengan menggunakan kemewahan sebagai umpan.
Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Biro Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini menyatakan pihaknya menerima 10 kes berkaitan ‘kahwin sementara itu’ tahun lalu.
“Modus operandi lelaki sindiket ini dengan memasuki sesebuah kampung dan kemudian menyewa sebuah rumah untuk sebulan atau dua bulan atas alasan untuk menjalankan perniagaan.
“Tampil dengan gaya hidup mewah, lelaki sindiket ini akan menggoda mana-mana gadis di kampung itu untuk dijadikan kekasih secepat yang boleh sehingga mendapat restu keluarga untuk dikahwinkan,” katanya.
Jelas Michael lagi, sindiket tersebut sanggup membiayai kos perkahwinan sebagai bukti dia mampu tetapi akan meninggalkan kampung bersama isterinya untuk hidup di kota selepas berkahwin.
“Sampai di bandar, isteri yang ditinggalkan bersendirian di rumah akan diculik oleh seseorang untuk dihantar ke rumah pelacuran.
“Tetapi itu semua telah dirancang oleh sindiket tersebut untuk mengaburi mata semua orang termasuk keluarga gadis yang telah menjadi isteri ahli sindiket terbabit,” katanya.
Tambah Michael lagi, pada Julai tahun lalu, seorang gadis dari Terengganu berusia 20 tahun telah membuat aduan di biro tersebut setelah dipaksa menjadi pelacur kelas atasan selepas kurang setahun menaiki jinjang pelamin.
Titik hitam berkenaan berlaku apabila suami yang berusia 33 tahun itu memaksanya menjual tubuh tanpa sebab sambil mengungkit kembali kos perkahwinan yang ditanggung.
Ekoran daripada kes tersebut, Michael meminta agar orang ramai terutama gadis kampung dan pedalaman supaya mengambil langkah berhati-hati.
“Jadi jangan mudah percaya, siasat dahulu latar belakang jika seseorang itu baru sahaja dikenali dan jangan terus mempercayai seseorang hanya dengan melihat kekayaan atau kebaikan hati kerana mungkin mereka ada niat tertentu,” katanya.
Seorang mangsa yang dikenali sebagai Azura berusia 19 tahun berkata, apa yang berlaku memang sukar dipercayai.
“Ketika mahu melamar saya, dia berjanji akan mencintai saya sepanjang hayatnya dan saya terpengaruh dengan kata-katanya hingga terbit rasa sayang.
“Malangnya, apabila berkahwin dan seminggu selepas berpindah ke Kuala Lumpur, sikapnya berubah menjadi pendiam serta sering tidak pulang ke rumah,” katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Jelasnya, perubahan sikap suaminya itu rupanya satu perancangan yang akhirnya mengheret dirinya ke lembah pelacuran tanpa dapat berbuat apa-apa.
Difailkan dalam: Isu Jenayah, Isu Semasa, Undang-Undang




























kes ini perlu di bendung dengan kerjasama orang ramai masyarakat setempat…….