Talak SMS – sah jika ada niat

Info Oleh : Nurhidayah Muhd Hashim (Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Shah Alam) Harian Metro 09 Mei 2008

“AWAK saya cerai talak 1”. Berdegup jantung Aminah (bukan nama sebenar) membaca mesej dikirimkan oleh suaminya.

Memang mereka ada bergaduh kerana masalah anak dan duit belanja pada malam sebelumnya, tetapi dia tidak menyangka suaminya tergamak menghantar mesej kepadanya seperti itu.

Menceraikan wanita yang dikahwini lebih 10 tahun melalui sistem mesej singkat (SMS) sesungguhnya tidak boleh diterima oleh isterinya.

Di atas adalah antara puluhan kes perceraian yang berlaku dewasa ini yang menyalahgunakan teknologi yang ada.

Tetapi persoalan yang menghantui Aminah atau isteri terbabit iaitu, bagaimana kedudukan perkahwinan yang ada? Masih sah sebagai suami isteri atau sudah bercerai?

Sesuatu perkahwinan boleh berakhir dengan menggunakan banyak kaedah iaitu secara talak, fasakh, taklik dan khuluk.

Apabila suami menjatuhkan talak, berlaku perceraian sama ada lafaz talak menggunakan bahasa Arab atau bahasa lain, melalui tulisan atau bahasa isyarat yang boleh difahami.

Talak boleh dibahagi kepada dua iaitu talak soreh dan talak kinayah.

Talak soreh ialah lafaz jelas dari segi maknanya memberi kesan jatuh talak walaupun suami menyebutnya tanpa niat atau bermain-main.

Contohnya, seorang suami berkata kepada isterinya, “Abang ceraikan awak dengan talak satu”.

Talak kinayah pula ialah talak secara kiasan atau sindiran, ia tidak terus dianggap sah talak tetapi melihat kepada niat suami.

Ini seperti suami berkata, “Pulanglah engkau ke rumah bapamu”, “Kita berdua sudah tiada hubungan lagi” dan lain-lain.

Talak boleh dilafazkan secara lisan sama ada didengari atau tidak oleh mana-mana pihak yang berada berhampiran.

Persoalan timbul apabila suami menceraikan isteri menggunakan tulisan, bukan secara lisan sedangkan suami boleh bertutur.

Inilah yang menjadi topik perbahasan dalam memutuskan lafaz cerai melalui SMS.

Majoriti golongan fuqaha berpandangan talak melalui tulisan dianggap sah sekiranya ketika suami menulisnya disertai niat untuk bercerai.

Ini kerana tulisan mempunyai kedudukan sama dengan kata-kata seseorang dan boleh difahami maksudnya.

Pada 2003, Mahkamah Syariah Gombak Timur mengesah dan mensabitkan perceraian suami isteri yang dilafazkan melalui SMS.

Dalam kes ini, SMS yang dihantar oleh suami tertera, ‘Kalau engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga’.

Pada masa lafaz itu dihantar pada pukul 10.04 pagi 18 April 2003, plaintif berada di rumah keluarganya dan dia hanya membacanya pada pukul 8 malam apabila telefon bimbitnya dipasang.

Dalam perbicaraan tersebut, mahkamah mengajukan soalan kepada suami sama ada SMS itu ditulis olehnya dan dia memperakukan keterangan itu serta menyatakan memang sedar kesan dan waras ketika menulisnya.

Hakim Syarie kemudiannya mensabitkan gugur talak tiga terhadap si isteri. Merujuk kepada isu itu, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 27 Julai 2003 membuat penelitian mendalam dan mengeluarkan fatwa iaitu :

lTalak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isteri secara khusus seperti melalui faks, SMS, e-mel dan sebagainya adalah talak berbentuk kinayah dan sah sekiranya disertai dengan niat.

lSemua perceraian perlu dikemukakan ke Mahkamah Syariah untuk mensabitkan talak tersebut.

lTalak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah perceraian yang tidak menepati adab perceraian yang digariskan oleh syarak.

Untuk mengesahkan sama ada suami berniat atau tidak ketika menulis ayat cerai berkenaan, Mahkamah Syariah adalah tempat mencari keadilan.

Oleh itu, apabila seorang isteri menerima SMS sebegitu, dia atau suami perlu membawa kesnya ke Mahkamah Syariah untuk mengesahkan kedudukan lafaz tersebut.

Pihak terbabit tidak boleh mendiamkan diri atau memutuskan kes sendirian sama ada si suami ada niat atau tidak atau mengambil keputusan sendiri mengatakan tidak jatuh talak.

Enakmen Undang-undang Keluarga Negeri Selangor 2003 memperuntukkan dalam Seksyen 56 bahawa tiada apa-apa lafaz talak atau perintah perceraian atau pembatalan boleh didaftarkan melainkan Ketua Pendaftar berpuas hati bahawa mahkamah membuat perintah muktamad berhubung dengannya.

Seksyen 57 pula menyebut sekiranya seseorang menceraikan isteri dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada lafaz talak itu, melaporkan kepada mahkamah. Apabila menerima laporan, mahkamah perlu mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talak yang dilafazkan itu adalah sah mengikut hukum syarak.

Apabila mahkamah berpuas hati bahawa talak yang dilafazkan itu sah mengikut hukum syarak, mahkamah hendaklah tertakluk kepada Seksyen 125 berkenaan penalti melafazkan cerai di luar mahkamah.

Kesimpulannya, jika berlaku perkara seperti itu, segeralah ke Mahkamah Syariah untuk mengesahkan kedudukan perceraian tersebut.

Jangan ambil mudah sesuatu perkara dan suami juga janganlah mengambil tindakan tidak bertanggungjawab dengan menyalah guna teknologi untuk meruntuhkan sesebuah masjid dengan sewenang-wenangnya.

1 Komen

  1. noussa berkata,

    8 Ogos 2008 pada 12:04 am

    fvxfgfgfg


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: