SHAH ALAM, 16 April (Bernama) — Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden Mohamed Azmin Ali memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini mengenai perhimpunan anjuran PKR di Kampung Baru, Kuala Lumpur malam 14 April lepas.
Turut memberi keterangan kepada polis ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, di pejabatnya di Bangunan Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah.
Perhimpunan yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman itu dan dihadiri kira-kira 10,000 orang, diberhentikan atas arahan polis kerana ia sepatutnya sebuah majlis jamuan malam tetapi bertukar menjadi perhimpunan tanpa permit.
Abdul Khalid memberitahu pemberita di lobi Bangunan SSAAS, bahawa beliau telah memberi keterangan selama 20 minit berhubung perkara itu.
Sementara Dr Wan Azizah memberitahu pemberita, telah berlaku salah faham di antara pihaknya dengan polis mengenai tempat mereka perlu memberikan keterangan menyebabkan beliau dan Azmin menunggu ketibaan polis sejak pukul 9.30 pagi di pejabat Menteri Besar Selangor untuk memberikan keterangan.
Ketika ditanya sama ada polis ada memaklumkan tindakan yang akan diambil terhadap mereka, Azmin berkata tidak ada dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Mengenai dakwaan PKR berbohong kepada polis dengan mengatakan majlis itu cuma majlis makan malam tetapi kemudian bertukar menjadi perhimpunan, Azmin berkata adalah lumrah bagi sesuatu majlis untuk mempunyai ucapan sebagai acaranya bahkan majlis kahwin pun mempunyai ucapan.
Pada perhimpunan itu beberapa pemimpin PKR berucap termasuk Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perhimpunan malam 14 April itu bukanlah “Black 14″ seperti yang digelar media dalam laporan berita mereka, tetapi ia merupakan hari dan perhimpunan bagi mengiktiraf kemenangan rakyat.
Perhimpunan seumpama akan diadakan lagi tetapi ia akan mengikut undang-undang, katanya.
Difailkan dalam: Isu Semasa, Politik



























